KUCHING, 20 Mac: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) meminta Petroleum Sarawak (PETROS) memberi keutamaan kepada kontraktor Bumiputera di negeri ini dalam projek-projek di bawah syarikat milik Kerajaan Sarawak.
Presidennya, Datu Abang Helmi Ikhwan berkata, cadangan itu bukanlah suatu perkara baharu, malah ia telah dipraktikkan beberapa syarikat terkemuka dalam negara termasuk Sarawak sendiri.
“Sama seperti di Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) atau mana-mana agensi, mereka mengutamakan Bumiputera dengan peratusan tertentu dikhaskan untuk Bumiputera.
“Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Kerajaan Sarawak turut lakukan perkara yang sama. PETROS ini pendatang baru dalam industri, mungkin mereka tak biasa dengan perkara ini, jadi sekarang kita minta mereka untuk ikut sama dengan memberi pekerjaan kepada Bumiputera secara adil,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Program Transformasi Kontraktor Minyak dan Gas Sarawak (PTKS) di sebuah hotel di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Helmi berkata, permintaan tersebut bukan berniat mahu golongan Bumiputera memonopoli segalanya, tetapi hanya mahukan Bumiputera diberi peluang secukupnya bagi mereka menyumbang kepada industri minyak dan gas di Sarawak dan pada masa sama menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat mereka di negeri ini.
Sementara itu, Abang Helmi menyeru agar Bumiputera di Sarawak lebih berdaya saing supaya mampu berkembang dari segi ekonomi.
“Untuk bersaing kita mesti ada kemahiran, kita mesti boleh menjana lebih banyak hasil untuk Sarawak sekali gus memberi kelebihan kepada kita (Bumiputera).
“ Jika tidak, kita hanya mampu melihat orang lain mengawal industri dan menjana pendapatan menerusinya, “ ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai program berkenaan, Abang Helmi menyifatkan program tersebut merupakan platform terbaik kepada anak Sarawak untuk melibatkan diri dalam industri minyak dan gas.
Hal ini kerana, kata beliau, Sarawak mempunyai masa depan cerah dalam industri minyak dan gas yang wajar dimanfaatkan Bumiputera.
Program itu menyaksikan penyertaan seramai 110 peserta dalam kalangan kontraktor minyak dan gas dari Bahagian Kuching.
Ia merupakan lokasi ketiga penganjuran program tersebut selepas sebelum ini diadakan di Miri dan Bintulu.
Yang turut hadir Presiden Suarah Petroleum Group (SPG), Abang Iskandar Abang Muas.- TVS