KUCHING, 19 Mac: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) telah melakar pelbagai kejayaan dan kekal aktif sepanjang 50 tahun penubuhannya di Sarawak, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau yang juga Presiden Saberkas berkata, Saberkas telah ditubuhkan pada 19 Mac 1973 dan sambutan kali ini amat bermakna kerana bukan mudah bagi sesebuah pertubuhan untuk kekal aktif selama 50 tahun.
“Hari ini kita melancarkan sambutan ulang tahun ke-50 Saberkas, kita akan mengaturkan aktiviti-aktiviti tertentu di seluruh negeri Sarawak iaitu di seluruh cawangan-cawangan Saberkas bagi menyemarakkan lagi semangat Saberkas ini sehingga pelancaran perasmian ke-50 ulang tahun Saberkas yang akan diadakan pada bulan Oktober tahun ini,” katanya ketika sidang media Majlis Sambutan Jubli Emas Saberkas serta Saberkas Cergas di Padang SLPAS, Jalan Muhibah, Satok, hari ini.
Katanya, dengan adanya Saberkas, ia dapat melahirkan pemimpin belia yang berkebolehan bagi memenuhi keperluan dan kemahuan belia pada masa kini.
“Pada hari ini ramai golongan belia intelektual yang mempunyai latar belakang akademik yang tinggi. Jadi, cara penglihatan mereka terhadap badan-badan seperti ini berlainan. Oleh itu, kita perlu sehaluan dengan cara mereka melihat keadaan.
“Jadi, pemimpin belia yang kita hendak angkat mesti mempunyai ciri-ciri seperti itu yang mempunyai kebolehan serta dapat menghayati kemahuan belia pada masa ini untuk membawa belia ke peringkat yang lebih tinggi lagi,” katanya. – TVS