KOTA SAMARAHAN, 19 Mac: Jabatan Nefrologi Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan kerjasama Unit Hemodialisis Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) dan National Kidney Foundation telah menganjurkan Program ‘World Kidney Day’ sempena Hari Buah Pinggang Sedunia pada hari ini.
Pakar Nefrologi HUS, Doktor Clare Tan Hui Hong berkata, antara tujuan program tersebut adalah bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit buah pinggang.
“Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang awam mengenai penyakit buah pinggang dan rawatannya. Hal ini kerana penyakit buah pinggang itu merupakan penyakit yang tidak asing lagi. Dijangka dalam 10 orang, ada seorang yang menghidap penyakit buah pinggang yang kronik. Penyakit buah pinggang tahap yang teruk sehingga mereka memerlukan rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang,” katanya ketika ditemui TVS pada Program “World Kidney Day” yang dianjurkan di Summer Mall di sini, hari ini.
Sementara itu, rata-rata pengunjung yang ditemui menyambut baik penganjuran program tersebut, di mana ia memudahkan orang awam untuk memeriksa tahap kesihatan mereka dengan membuat saringan kesihatan secara percuma sepanjang program tersebut dijalankan.
“Program ini bagus bagi orang yang tidak pernah memeriksa buah pinggang kerana kita tidak tahu apa keadaan buah pinggang kita. Selain itu, kita juga boleh melakukan pemeriksaan kesihatan di sini. Jadi, kita boleh mengetahui penyakit dan mencegah dengan lebih awal lagi,” kata Nurul Fifa Erena Ikhwan.
“Bagi saya warga emas ini, memang patut menjalankan pemeriksaan kesihatan pada setiap bulan. Bukan sahaja di klinik, di program seperti ini juga dapat dilakukan. Program ini menggalakkan dan memudahkan warga emas seperti saya ini,” kata Jamaiah Ajis.
“Program ini bagus kerana saya boleh melakukan pemeriksaan kesihatan kerana kita mudah untuk memeriksa kesihatan di program ini daripada pergi ke hospital,” kata Mohamad Faizal Omar.
Tema sambutan “World Kidney Day” pada tahun ini adalah “Preparing For The Unexpeed, Supporting The Vulnerable”.
Seramai 150 orang kakitangan dianggarkan telah terlibat dalam program tersebut dengan sasaran pengunjung yang melibatkan seluruh masyarakat di sekitar Kuching dan Kota Samarahan.
Antara pengisian dan aktiviti yang diadakan dalam program itu ialah saringan dan konsultasi kesihatan, promosi pendermaan organ, promosi gaya hidup sihat, pertandingan mewarna kanak-kanak, pameran kesihatan, kuiz dan cabutan bertuah.
Hadir sama pada program itu ialah Pengarah HUS, Doktor Ngian Hie Ung, Pengarah Pusat Jantung HUS, Doktor Mohd Asri Ariffin, Penolong Pegawai Perubatan Kanan selaku Pengerusi World Kidney Day 2023, Ahamady Lian. – TVS