Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Fatimah (tengah) bergambar bersama fasilitator dan peserta bengkel Program LIFE. Foto: TVS.

Program LIFE bantu golongan banduan – Fatimah

KUCHING, 19 Mac: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak akan membangunkan program Pemerkasaan Keluarga Berpendapatan Rendah (LIFE) bagi mengenal pasti golongan sasaran yang tidak diberi perhatian oleh agensi lain.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, beliau tidak mahu program itu menghulurkan bantuan kepada individu atau golongan B40 yang dalam masa sama turut menerima bantuan agensi lain.

Dato Sri Fatimah berdialog dengan Ketua Fasilitator Bengkel Dr. Zufar Yadi Brendan Abdullah mengenai cadangan memberikan tumpuan kepada golongan banduan terutama banduan wanita. Foto: TVS

Justeru, cadangan untuk memberikan tumpuan kepada golongan banduan terutama wanita di dalam program ini dipersetujui beliau.

“Saya bersetuju untuk kita memberikan tumpuan dan bantuan kepada golongan banduan terutama wanita kerana golongan ini tidak termasuk dalam fokus mana-mana kategori bantuan yang dihulurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) mahupun Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS).

“Golongan banduan ini mempelajari kemahiran di dalam penjara. Apabila mereka keluar dari penjara mereka memerlukan bantuan modal untuk membeli peralatan dan memulakan perniagaan. Selain memberikan bantuan modal, kita juga akan memberikan bantuan sokongan lain seperti pengurusan kewangan, pemasaran produk dan lain-lain lagi,” katanya ketika berucap dalam di Majlis Penutupan Bengkel LIFE di salah sebuah hotel terekemuka di sini, hari ini.

Fatimah turut mencadangkan supaya produk yang dikeluarkan nanti ditempatkan di premis One Stop Collection Centre di Kuching yang bakal siap pada bulan Januari 2024 nanti bagi membolehkan pemantauan dan bantuan berterusan dilakukan meliputi aspek pemasaran dan penjenamaan bagi memperkasakan perniagaan yang diusahakan golongan tersebut.

“Program LIFE adalah program baharu yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk memperkasakan golongan miskin tegar, miskin dan golongan B40,”ujarnya.

Dalam masa yang sama, Fatimah mahukan aspek pendidikan dan kesihatan rakyat Sarawak diberi keutamaan bagi memecahkan kitaran kemiskinan di dalam sebuah keluarga.

Beliau turut berkongsi pengalaman berdepan dengan sebuah keluarga gelandangan yang tinggal di hutan selama setahun.

“Kita mempunyai kes sebuah keluarga gelandangan yang tinggal di hutan selama setahun, apabila kita menyelidik keluarga tersebut, ibunya tidak pernah bersekolah, suaminya mempunyai penyakit yang menyukarkannya untuk berkerja dan anak-anaknya hanya bersekolah sehingga darjah enam,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan