Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lukanisman Awang Sauni menyerahkan sumbangan kepada salah seorang wakil masjid pada Majlis Agihan Sumbangan kepada Masjid dan Surau Parlimen Sibuti hari ini. Foto: TVS

Program Doktor Udara masih diteruskan di Sarawak

MIRI, 19 Mac: Program Doktor Udara masih lagi diteruskan selama tiga kali setahun untuk kawasan yang masih memerlukan perkhidmatan kesihatan itu di Sarawak, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sibu berkata, setakat ini program itu diadakan di tiga tempat iaitu di Bahagian Kuching, Sibu dan Miri.

“Kita telah menggerakkan Program Doktor Udara  pada bulan ini bermula pada 17 Mac lepas. Program ini akan diadakan tiga kali setahun kerana masih terdapat tempat-tempat yang masih memerlukan perkhidmatan kesihatan ini. Secara purata, setiap kali sampai ke kawasan, purata adalah sebanyak 22 pesakit yang berkunjung dan menerima perkhidmatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika ditemui TVS hari ini.

Selain itu, Program Medevac juga diteruskan untuk pesakit kecemasan apabila mereka memerlukan kepakaran kesihatan di tempat yang berbeza dan ini telah diletakkan di dalam Belanjawan 2023.

“Pada masa yang sama, kami tetap meneruskan Program Medevac, iaitu apabila berlaku kecemasan, kita mempunyai dua helikopter yang akan membawa pesakit. Contohnya, jika Hospital Miri tidak dapat melakukan sesuatu pembedahan dan memerlukan kepakaran di Kuching, kita akan gunakan perkhidmatan Medevac ini untuk membawa pesakit dari Miri ke Kuching.

“Ini adalah perkhidmatan yang telah dijalankan beberapa tahun lepas. Kita tetap meneruskan program ini dan telah diletakkan di dalam Belanjawan 2023,” ujarnya.

Sempena bulan Ramadan ini, beliau menasihatkan umat Islam untuk bersedia dari sudut mental dan fizikal serta sentiasa mengambil saringan kesihatan bagi mengenal pasti masalah kesihatan yang mungkin dihadapi.

“Keputusan saringan kesihatan ini akan membantu merangka keperluan optimum untuk rawatan di pusat kesihatan dan para pesakit juga boleh mendapatkan modul informasi dari KKM untuk mendapatkan maklumat yang membantu bagi menjalani ibadah puasa,” jelasnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan