KUCHING, 19 Mac: Liga Semi-Profesional atau lebih dikenali sebagai Liga M3 kejohanan bola sepak tempatan akan dijenamakan semula sebagai Liga Kejuaraan MBSB Bank.
Ketua Pegawai Operasi Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad berkata, selaku pengendali kepada kejohanan Liga M3 penjenamaan semula yang dilakukan dengan kerjasama bank MBSB dilihat satu langkah yang baik.
Katanya, kerjasama itu membuktikan Liga Semi-Profesional mempunyai nilai komersil tersendiri dan ia dilihat mampu membantu menyumbang ke arah pengkomersilan kejohanan itu.
“Kerjasama ini diharap dapat membuka mata lebih ramai syarikat luar mahupun tempatan agar memberi perhatian kepada sukan bola sepak peringkat amatur yang memiliki potensi besar untuk diterokai dari sudut komersil.
“Bagi pihak AFL, saya mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan kepercayaan MBSB Bank terhadap AFL untuk menjalinkan kerjasama demi faedah bersama.
Mohd Raimi berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacanya sebelum menyaksikan upacara menandatangani perjanjian penajaan diantara Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank Berhad, Datuk Nor Azam M. Taib di Stadium Negeri Kuching petang semalam.
Mengulas mengenai perjanjian penajaan itu, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, objektif penajaan itu adalah untuk mengembangkan jenama MBSB Bank sebagai sebuah bank yang menawarkan pelbagai perkhidmatan perbankan kepada pelanggan.
Menerusi penajaan itu, MBSB Bank akan menaja nama kejohanan dan dalam usaha mengembangkan jenama bank tersebut di Sarawak beberapa inisiatif baharu turut dilakukan oleh bank tersebut.
“Segala perkhidmatan yang dahulunya ditawarkan di Ibu pejabat MBSB bank di Kelana Jaya akan ditawarkan MBSB Bank di Kuching” kata beliau dalam ucapannya.
Hadir sama Pengerusi AFL Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, Ketua Pegawai Strategik MBSB Bank Berhad Dato Azlan Shahrim, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman serta barisan kakitangan pengurusan tertinggi AFL dan MBSB Bank. – TVS