Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri. Foto: Bernama.

Kerajaan sentiasa bantu lahirkan wanita berdikari – Nancy

LUNDU, 19 Mac: Kerajaan sentiasa mencari jalan untuk membantu melahirkan golongan wanita yang berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada orang lain bagi tujuan kelangsungan hidup, mengetahui hak mereka serta mendayaupayakan potensi agar mampu bangkit mengatasi cabaran dalam merubah kehidupan.

Justeru, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menyeru wanita khususnya di Sarawak untuk terus memikirkan dan mencari jalan bagi memajukan dan memperkasakan kemahiran yang dimiliki oleh mereka.

Datuk Seri Nancy Shukri (dua kanan) melihat gubahan bunga yang digubah oleh peserta Pertandingan Gubahan Bunga sempena Program Kembara Kasih Wanita Sarawak di Dewan Masyarakat Lundu. Turut hadir ADUN Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan (tiga kanan). Foto: TVS

Katanya, menerusi Belanjawan Madani 2023, kerajaan telah memperuntukan geran penjagaan kanak-kanak kepada wanita kembali bekerja yang bersamaan 80 peratus daripada gaji bulanan berinsurans disediakan untuk kira-kira 136,800 wanita yang kembali bekerja selepas tempoh bersalin.

“Di samping itu, kerajaan akan terus memudah cara garis panduan untuk Pusat Jagaan Kanak-kanak di Pejabat termasuk membenarkan penyediaan pusat jagaan di aras pejabat yang lebih tinggi serta menyeru supaya majikan memainkan peranan untuk turut bertanggungjawab dalam penyediaan pusat jagaan kanak-kanak di pejabat.

Insentif cukai sedia ada juga akan dilanjutkan bagi elaun jagaan kanak-kanak serta kos menyediakan pusat jagaan di pejabat,” katanya ketika berucap merasmikan Program Kembara Kasih Wanita di sini, hari ini.

Menurut Nancy, kerajaan turut mengkhaskan sebanyak RM300 juta daripada RM1.7 bilion kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan yang tersedia di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia, Bank Simpanan Nasional, MARA dan TEKUN Nasional untuk menyokong perniagaan mikro oleh usahawan wanita dan belia.

Pada masa sama, kerajaan juga katanya turut mewajibkan pelantikan 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan di Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Dasar tersebut tegas beliau, mencerminkan usaha berterusan untuk mengiktiraf peranan wanita dalam proses membuat keputusan dan memperkukuh kepimpinan wanita secara lebih menyeluruh. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan