MOSCOW, 19 Mac: Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) memutuskan untuk mendengar kes yang difailkan oleh Belanda dan Australia terhadap Rusia berhubung nahas pesawat MH17 di Donbas pada 2014, kata Menteri Luar Belanda Wopke Hoekstra, semalam.
Pada Mac 2022, Anggota Kabinet Belanda berkata, bahawa kedua-dua negara telah memfailkan aduan terhadap Rusia membabitkan nahas pesawat MH17, lapor Sputnik.
“Hari ini, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa memutuskan untuk mendengar kes difailkan Belanda dan Australia terhadap Rusia kerana menembak jatuh pesawat #MH17… Ini adalah langkah penting ke arah mewujudkan kebenaran, keadilan dan akauntabiliti,” menurut ciapan Hoekstra menerusi Twitter.
Belanda dan Australia akan terus melakukan segala usaha untuk “menuntut keadilan” bagi keluarga mangsa.
Pada November, Mahkamah Daerah Hague mendapati dua warga Rusia, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta seorang warga Ukraine Leonid Kharchenko didapati bersalah menembak jatuh pesawat MH17 serta menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa kehadiran.
Mereka juga perlu membayar 16 juta euro (US$17.2 juta) sebagai ganti rugi kepada keluarga mangsa.
Defendan keempat, warga Rusia Oleg Pulatov, dibebaskan daripada pertuduhan.
Mahkamah Hague tidak mengaitkan sistem pertahanan udara BUK secara langsung hingga membawa kepada nahas pesawat malang itu tetapi berkata, bahawa Rusia mengawal wilayah berkenaan ketika kejadian.
Kesemua 298 penumpang dan kru pesawat terbunuh apabila Boeing 777 yang berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine, wilayah dikuasai puak pemisah yang didakwa menggunakan peluru berpandu dibekalkan oleh Moscow.
Pada 2016, Pasukan Penyiasatan Bersama antarabangsa (JIT) yang diketuai Belanda membuat kesimpulan bahawa pesawat itu ditembak oleh peluru berpandu BUK buatan Rusia di Donbas.
Kementerian Luar Rusia berkata, bahawa dakwaan JIT berhubung kaitan Rusia dengan nahas itu adalah tidak berasas, sambil menambah bahawa siasatan itu berat sebelah. – TVS