KUCHING, 19 Mac: Pertandingan sukan elektronik atau e-sukan antara salah satu acara yang akan dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang dijadualkan diadakan di Sarawak nanti.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkara berkenaan sudahpun mendapat persetujuan sebulat suara semua pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
“Kita tahu bahawa e-sukan adalah satu sukan yang sedang meningkat naik, jadi tempoh hari saya bersama dengan exco-exco sukan serta Menteri Belia dan Sukan telah melakukan perbincangan sama ada sukan tersebut perlu dimasukkan dalam SUKMA 2024 atau tidak.
“Selepas dibincangkan, semua exco-exco sukan termasuk Menteri Belia dan Sukan dan juga diri saya yang menjaga Kementerian Belia dan Sukan Sarawak, bersetuju untuk memasukkan e-sukan sebagai satu daripada sukan yang akan dipertandingkan dalam SUKMA pada tahun hadapan, “ katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kejohanan MyBorneo E-Force Invitational 2.0 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, pihaknya turut mengharapkan kerjasama dengan pihak swasta yang terlibat dalam industri e-sukan bagi memastikan kelancaran acara itu kelak.
“Sektor swasta yang membantu untuk menjayakan e-sukan akan dihubungi untuk mengadakan kerjasama sebelum SUKMA bermula kerana kami memerlukan sokongan sektor swasta untuk membantu, “ ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya masih belum mengenal pasti venue kejohanan, namun memberi bayangan akan memilih venue yang pernah digunakan untuk penganjuran e-sukan di sekitar kawasan Kuching.
Untuk rekod, ini merupakan kali kedua e-sukan dipertandingkan dalam SUKMA selepas kali pertama pada SUKMA 2022 di Johor.
Penganjuran kali pertamanya menyaksikan sebanyak lima acara dipertandingkan dengan kontinjen Terengganu berjaya mendominasi saingan. – TVS