KUCHING, 19 Mac: Seramai 14 anak Dayak menerima Anugerah Ikon Dayak pada Majlis Malam Penghargaan Jasamu Dikenang 2023 yang julung kalinya diadakan bertempat di KTS Garden di sini, malam tadi.
Menurut Pengasas Gabungan Orang Asal Sabah Sarawak (GOASS), Peter John Jaban, anugerah itu disampaikan sebagai menghargai sumbangan dan jasa bakti mereka yang telah mengharumkan nama komuniti Dayak dan negara dalam pelbagai bidang.
Katanya, seramai 12 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Dayak terlibat dalam menjayakan anugerah berkenaan sebagai sokongan bagi meraikan sumbangan mereka yang telah mengangkat komuniti dayak ke peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang.
“Sebanyak 12 persatuan bergabung dengan GOASS bagi menghargai orang-orang kita terutama ikon sukan, ratu cantik dan aktivis dalam pelbagai bidang termasuk mereka yang sudah lama meninggalkan kita.
“Kita akan tetap mengenang jasa mereka, contoh Gawai Dayak.Siapa yang benar menghargai mereka kalau bukan kita. Tanpa Tra Zendher kita tidak akan ada Hari Gawai Dayak pada 1 Jun sekarang,” katanya selepas majlis Malam Penghargaan Jasa Mu Dikenang yang dianjurkan Persatuan Kesenian dan Kebudayan TAJAI Sarawak dengan kerjasama GOASS dan CERAVA Sarawak.
Mengulas lanjut, Peter John berkata, walaupun ada antara mereka yang sudah meninggal dunia, namun jasa dan pengorbanan mereka kepada komuniti Dayak juga turut diraikan selaras dengan tema Jasa Mu Dikenang supaya sentiasa dikenang oleh generasi muda hari ini.
“Pernahkah anda mendengar Freddy Lawan? Siapa Freddy Lawan. Sudah tiba masanya komuniti Dayak mengangkat perjuangan mereka dan memastikan orang tahu siapa mereka. Jadi malam ini, Jasa Mu Dikenang, walaupun mereka sudah pergi atau masih hidup. Kita akan terus mengenang jasa mereka kepada komuniti dan juga negara,” katanya.
Tambahnya, program anugerah itu diharap dapat menggerakkan hati dan minda masyarakat umum khas pemimpin Dayak betapa besarnya sumbangan, jasa dan bakti individu masyarakat Dayak dalam pelbagai bidang sosial, sukan, dunia hiburan, kerja-kerja sukarela dan pejuang-pejuang dan pembela hak asasi dan budaya.
Antara anugerah disampaikan ialah Anugerah Timeless Contribution To The Community, Anugerah Ikon Sukan, Anugerah 7 Ratu, Anugerah Bintang Harapan, Anugerah Tuai Kayau, Anugerah Goass dan Anugerah Jasamu Dikenang.
Pada majlis itu, menyaksikan anugerah tertinggi diberikan kepada Sidi Munan yang memenangi 50 Years Golden Award atas pencapaiannya memberi sumbangan sepanjang masa kepada komuniti Dayak dan Sarawak.
Manakala kategori wanita dalam bidang sukan diberikan kepada Sandra Sahron Bala.
Selain itu, Anugerah Ikon Sukan, Freedy Lawan diberi Gelaran Bujang Berani Deras, Buda Anchah (Gelaran Tuai Kayau Bujang Berani Besi), Sapok Biki (Gelaran Berani Bebukut), Mc Delon (Gelan Bujang Berani Bebukut), Watson Nyambek (The Flying Dayak) David Usup (Dayak Iban Pertama Jadi Jurulatih Bola Sepak Sarawak), Philomena Diclyen Sigar (Gela Dayak Iron Queen) dan Datuk Pandalela Rinong (Gelaran Dayak Diving Queen).
Bagi kategori penerima Anugerah Ikon Wanita ialah Dewi Seriestha, Francisca Luhong James, Larrisa Ping, Joyce Nyupeh dan Andrea Chelly, Luara Munan dan Viviana Lin Winston.-TVS