KUCHING, 18 Mac: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sentiasa tekad dalam memfokuskan pembangunan yang seimbang antara Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah.
Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata ini jelas menerusi pengagihan peruntukan yang besar iaitu berjumlah RM11.04 bilion dalam Belanjawan 2023 baru-baru ini.
“KKDW menyalurkan lebih RM900 juta peruntukan tahun 2023 kepada Sarawak untuk melaksanakan 38 projek baharu bagi pembinaan pelbagai jenis prasarana.
“Ini termasuk jalan perhubungan desa (JPD), projek ameniti sosial (PAMS), projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) serta 203 projek sambungan, menjadikan kos keseluruhan sebanyak RM13.49 billion,” katanya dalam satu sesi santai bersama media Sarawak di sini, hari ini.
Ujarnya, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW Datuk Seri Zahid Hamidi dalam lawatan beliau ke Kuching minggu lalu juga telah bersetuju untuk membaik pulih jalan-jalan balak di Sarawak sepanjang 578 kilometer.
“Kebanyakan projek ini berada di kawasan pedalaman dan utara Sarawak seperti di pedalaman kawasan Miri, Limbang serta Belaga,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, menurut Rubiah, KKDW menerusi FELCRA juga memperkenalkan inisiatif estet padi di Sri Aman dengan keluasan kira-kira lima ribu hektar bagi menjadikan bahagian itu sebagai jelapang padi baharu bagi Malaysia.
“Ini juga merupakan sebahagian daripada usaha kita untuk mendukung hasrat kerajaan dalam memperkasakan tindakan untuk keterjaminan makanan,” kata Rubiah.
Rubiah juga memaklumkan bahawa pendekatan penanaman padi di Sekinchan, Selangor akan dijadikan sebagai model bagi projek itu.- TVS