KAPIT, 18 Mac: Seorang wanita cemas apabila anak perempuannya berusia setahun terperangkap dalam kereta yang terkunci di hadapan sebuah pejabat kurier di Jalan Tan Sit Leong di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 1 petang itu kanak-kanak malang berkenaan terkunci selepas ditinggalkan oleh ibunya yang keluar untuk mengambil barang di Pejabat kurier tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Timoty Barat berkata, panggilan kecemasan diterima daripada seorang wanita berusia 26 tahun pada jam 1.15 petang sebelum sembilan anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi, didapati seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun berada dalam kereta jenis Proton Pesona yan terkunci.
“Bayi tersebut berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas dalam masa kira-kira 15 minit dan diserahkan semula kepada ibu mangsa dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sehubungan itu, Timoty menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa supaya tidak meninggalkan anak mereka yang masih kecil di dalam kereta tanpa pengawasan atau berseorangan ketika hendak keluar mengambil barang.
Operasi khidmat khas tersebut ditamatkan pada jam 1.49 petang. – TVS