KUALA LUMPUR, 17 Mac: Operasi TVS di Sarawak telah memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengenali keunikan wilayah itu dengan lebih dekat.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, ini kerana TVS sentiasa mempromosikan keistimewaan di Sarawak yang tiada di tempat lain menerusi kandungan yang disiarkan.
“Seperti yang kita sedia maklum, TVS menjanjikan pelbagai program serta rancangan yang melibatkan identiti Sarawak terutamanya dalam aspek kebudayaan dan adat masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada majlis pelancaran perkhidmatan siaran televisyen penstriman Over the Top (OTT) percuma Malaysia, MYTV Mana – Mana di sini hari ini.
Menerusi aplikasi berkenaan, penonton akan dapat mengakses pelbagai kandungan program tempatan dan luar negara secara definisi tinggi, rangkaian siaran langsung televisyen dan radio pada bila – bila masa.
Sementara itu, Mohammad memberitahu, TVS juga merupakan salah satu penyiar yang menyediakan saluran televisyen percuma di platform MYTV Mana-Mana, selain Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama TV, Suke TV dan TV Al-Hijrah.
MYTV Mana-Mana kini boleh ditonton di mana2.my dan juga boleh dimuat turun menerusi aplikasi Google Play Store dan IOS App Store. -TVS