KUCHING, 17 Mac: Tanaman unik atau eksotik yang ada di negeri ini diyakini akan memperkenalkan Sarawak sebagai destinasi pelancongan bagi penggemar tumbuh-tumbuhan seluruh dunia.
Perkara itu diakui Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika merasmikan Ekspo Taman Antarabangsa Borneo Sarawak (BIGEXS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Beliau yang optimis ekspo berskala gergasi itu akan menjadi penanda aras kepada pencapaian baharu Sarawak dalam meneroka industri hortikultur tempatan.
“Selain bertukar idea, ekspo ini juga meneroka persoalan tentang bagaimana industri hortikultur dapat menyumbang kepada ekonomi kita dan juga bagaimana ia mampu merapatkan masyarakat,” katanya.
Menurutnya, pameran tersebut juga selari dengan objektif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030 berkaitan penjanaan ekonomi melalui tambah nilai.
“Industri hortikultur merupakan industri yang mempunyai dua peranan iaitu sebagai komoditi dan ia juga mempunyai peranan dalam sosial,” ujarnya.
Justeru, beliau menyeru pihak berkaitan seperti Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) giat meningkatkan kerja pengindahan jalan dengan penanaman tumbuhan tempatan di sekitarnya.
Hasrat itu menurut beliau yang kagum menyaksikan keindahan dan kehijauan bandar dengan tumbuhan berbunga ketika mengadakan lawatan kerja ke Arab Saudi baru-baru ini.
Dalam pada itu, menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Seni Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ekspo yang julung kali diadakan di negeri ini merupakan platform terbaik untuk Sarawak menyertai industri.
“Industri hortikultur di negara membangun berkembang lebih perlahan berbanding di negara maju, namun penganjuran BIGEXS 2023 menjadi platform terbaik bagi pertukaran ilmu, pendidikan dan juga pendedahan kepada masyarakat umum,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Karim juga mengumumkan kameran tiga hari itu berjaya mengunjurkan dapatan sebanyak RM4.4 juta.
Pameran tanaman antarabangsa itu turut menampilkan peserta dari pelbagai negara termasuk Thailand, Taiwan, Singapura dan Semenanjung Malaysia.
BIGEXS 2023 bermula hari ini hingga Ahad (19 Mac) di BCCK dan pintu dibuka dari jam 9 pagi hingga 7 malam.
Majlis hari ini juga menyaksikan dua jenis panaman orkid yang dibiak secara khas diperlihatkan kepada Abang Johari serta isteri, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Dato Dr Sim Kui Hian; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Seni Sarawak, Datuk Snowdan Lawan; dan Pengarah Eksekutif BCCK, Tan Sri Datuk Amar Wilson Baya berserta Ketua Pegawai Eksekutif BCCK, Eric Van Piggelen.-TVS