BLANTYRE (Malawi), 17 Mac: Angka kematian akibat Siklon Tropika Freddy di Malawi kini mencecah 326 orang.
“Angka kematian meningkat daripada 225 kepada 326, manakala jumlah mangsa yang cedera dan masih hilang masing-masing meningkat kepada 201 dan 796.
“Jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat lebih dua kali ganda kepada 183,159, kata Presiden Malawi Lazarus Chakwera.
Kerajaan telah menubuhkan 317 kem sementara di seluruh wilayah yang dilanda bencana, lapor Xinhua.
Pemimpin Malawi itu menekankan semula keperluan agar lebih banyak bantuan kemanusiaan daripada organisasi dan individu tempatan dan antarabangsa dapat disalurkan.
Sementara itu, ahli perniagaan tempatan berjanji untuk menyumbang sehingga US$1.5 juta bagi menyokong penduduk yang terjejas.
Dalam pada itu, Malawi juga berdepan potensi wabak penyakit bawaan air ekoran Siklon Freddy.
Pakar kesihatan menyuarakan kebimbangan bahawa banjir, angin kencang dan tanah runtuh boleh menyebabkan penyakit bawaan air seperti taun.
Charles Mwansambo, Setiausaha Kesihatan, mengakui risiko itu, tetapi berkata kerajaan bekerjasama rapat dengan agensi kesihatan untuk meminimumkan ancaman itu.
“Kementerian dan agensi kesihatan lain bekerjasama untuk mempergiat usaha dan memastikan tindak balas segera,” kata Mwansambo dalam temu bual dengan Xinhua pada Khamis. – TVS