KUCHING, 16 Mac: Kerajaan Sarawak nekad meneroka pelaburan Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) berlaku di negeri ini, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni.
Perkara itu menurutnya harus melalui dasar dan perundangan yang jelas termasuk proses berstruktur yang diuruskan oleh syarikat yang kukuh seperti Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
“Kami menggalakkan setiap organisasi yang serius untuk mencapai sasaran penyahkarbonan anda untuk meneroka potensi CCUS di Sarawak dengan PETROS,” katanya pada Majlis Penutupan Persidangan Karbon Asia (ACC) 2023, di sini, pada Khamis.
Tambahnya, ACC 2023 telah menjadi platform perkongsian terbaik yang menonjolkan potensi global CCUS di Sarawak selain memfokus kepada Pasaran Karbon Sukarela (VCM).
“Ia sememangnya satu penghormatan untuk mendapat perkongsian daripada pakar-pakar global daripada sembilan negara di sini bersama kami, yang telah menyampaikan pandangan mereka tentang rangka kerja pengawalseliaan mengenai pasaran karbon serta masa depan Asia Pasifik pasaran karbon,” ujarnya.
Persidangan itu juga katanya melibatkan perbincangan tentang bagaimana inisiatif karbon memainkan peranan penting dalam menguruskan perubahan iklim.
Inisiatif tersebut katanya lagi amat bertepatan dengan usaha kerajaan negeri untuk beralih ke arah ekonomi hijau.
“Amat penting untuk kita dibekalkan dengan perkembangan terkini dan kami bersyukur atas perkongsian rakan industri global dan peneraju pemikiran dalam sektor ini,” tambahnya lagi.
Pada masa sama, beliau berharap semua idea dan amalan terbaik yang diperoleh menerusi ACC 2023 dapat diterapkan di Sarawak.
Beliau juga melihat kepada peluang jalinan kerjasama di masa hadapan dengan pihak pemain industri global yang hadir pada persidangan tersebut, sekali gus merangsang pelaburan baharu di Sarawak.
“Persidangan ini telah memberikan pandangan yang berharga tentang laluan ke arah karbon di masa depan, dan Sarawak berada di laluan yang betul untuk mengambil kesempatan daripada peluang yang telah disediakan,” katanya. -TVS