KOTA SAMARAHAN, 16 Mac: Seramai 40 belia di negeri ini menamatkan Program Skillspreneurs Samarahan yang menjadi titik mula golongan itu menempa kejayaan dalam bidang keusahawanan.
Program yang diilhamkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu telah dianjurkanDewan Muda Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) bersama Koperasi Belia Inovatif Sarawak Berhad (KOBIS) di sini.
Menurut Pengerusi KOBIS Sdn Bhd Zaiwin Kassim, program itu turut memandu arah golongan berkenaan untuk mencorak kejayaan dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Sambutan diluar jangka kata Zaiwin daripada golongan belia terhadap program itu susulan pihaknya menerima lebih 100 penyertaan.
“Jadi, saya difahamkan bahawa program yang berlangsung selama tiga bulan ini perlu melalui tapisan secara maya dan melalui beberapa sesi tapisan lagi.
“Mereka berminat kerana program ini mempunyai mentor, penganugerahan sijil dan juga mendapat bimbingan secara terus bukan sahaja daripada tenaga pengajar malah pemain-pemain industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pensijilan Program Skillspreneurs Samarahan, pada Khamis.
Jelasnya, besandarkan objektif untuk membantu masyarakat khususnya para belia, program tersebut juga disokong Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED). – TVS