KUCHING, 16 Mac: Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini menyerahkan Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak (DSITKS) kepada seramai 45 kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.
Menurut Abang Johari, DSITKS yang umpama sinar buat mereka berikutan ada dalam kalangan mereka akan mempunyai akses untuk menyertai sesi persekolahan pada minggu hadapan.
Tegas beliau isu kerakyatan adalah antara perkara yang ditekankan kerajaan negeri walaupun kelulusan kewarganegaraan merupakan di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Dan kita nampak kadang-kadang kita tidak mendapat dokumen disebabkan oleh proses permohonan yang begitu panjang dan akhirnya disebabkan keadaan demikian, maka banyaklah kanak-kanak kita iaitu yang tidak mendapat kewarganegaraan di Sarawak, yang tidak mendapat akses pada pendidikan dan juga kesihatan.
“Oleh itu Kerajaan Sarawak sangat prihatin kepada keadaan keluarga kita yang tidak dapat menghantarkan anaknya ke sekolah lebih-lebih lagi untuk mendapat rawatan.
“Sebab itu kami telah mencari jalan. Dan akhirnya kami berpandangan bahawa mereka ini perlu diberi dokumen sementara sebelum mendapat dokumen yang sah,” katanya dalam Majils Penyerahan Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan Di Sarawak (DSITKS) di Wisma Bapa Malaysia, pada Khamis.
Pada masa sama, beliau menyeru ketua masyarakat untuk membantu kerajaan negeri dalam mengenal pasti kanak- kanak tanpa kewarganegaraan terutamanya di kawasan luar bandar.
Beliau memberitahu ini bagi memastikan kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Masyarakat (KPWK) dapat memudahkan permohonan mereka untuk mendapatkan kewarganegaraan.
“Mungkin ada warganegara yang sudah berkahwin tapi tak didaftar, ini merupakan tugas ketua masyarakat membantu kita dan residen agar pihak kerajaan melalui KPWK dapat menyelaraskan, supaya anak-anak kita mendapat dokumen,” jelasnya.
Untuk rekod, DSITKS merupakan inisiatif kerajaan sarawak melalui KPWK bagi memastikan kanak-kanak atau individu di bawah 21 tahun yang tanpa kerakyatan di negeri ini diberi peluang untuk mendapatkan pendidikan dan perkhidmatan kesihatan. -TVS