Bekerja sebagai pemandu e-panggilan, duda tiga anak itu berkata dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan, itupun tidak menentu, dia terikat dengan pelbagai perbelanjaan termasuk kos penjagaan ibunya yang uzur di rumah.
“Ada yang bagi pandangan, jika mahu jimat masak di rumah dan bawa bekal. Akan tetapi bagi saya, langkah itu agak renyah sebab awal pagi lagi saya sudah sibuk sediakan keperluan emak sebelum keluar bekerja, jadi memang tidak sempat,” kongsi anak jati Kuala Lumpur itu dengan penulis baru-baru ini.
Menurutnya, sebelum Menu Rahmah diperkenalkan, dia membelanjakan sekitar RM20 untuk membeli makanan yang lengkap dengan lauk ayam atau ikan berserta sayur untuk dia dan ibunya.
“Sejak ada Menu Rahmah ini, saya hanya membelanjakan RM10 untuk kami berdua, dan hidangan juga lengkap,” ujarnya, menambah nilai tersebut amat berbaloi buat dirinya, terutama ketika “tengah-tengah bulan”.
UNTUK SEMUA
Dalam pada itu, dia yang mahu disapa sebagai Ah Heng, turut menyatakan rasa terperanjat apabila mendapati menu tersebut ditawarkan oleh restoran bangsa lain memandangkan selama ini dia menganggap Menu Rahmah hanya disediakan oleh pengusaha Melayu.
“Sekarang tidak susah nak jumpa menu ini. Kedai mamak atau Cina juga menyediakan Menu Rahmah,” katanya.
Pemerhatian penulis mendapati kebanyakan pengusaha makanan di kawasan petempatan kami di Selayang, tidak kira gerai di tepi jalan atau premis kekal, menjual Menu Rahmah, merangkumi masakan Melayu dan Thailand. Malah, kedai berkonsepkan kopitiam juga tidak ketinggalan menawarkan menu itu.
Hakikatnya, penyertaan Menu Rahmah ini membabitkan pengusaha pelbagai kaum, sekali gus menyanggah dakwaan segelintir pihak bahawa program itu tidak mendapat sambutan daripada peniaga makanan bukan Melayu.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub dilapor menegaskan inisiatif yang dilancarkan pada 31 jan lepas itu mendapat sokongan masyarakat berbilang kaum.
“Tidak benar (program tidak dapat sambutan daripada pengusaha bukan Melayu) kerana ketika idea Menu Rahmah ini dicadangkan, yang pertama tampil adalah persatuan peniaga India Muslim, kedai makan kaum India dan pengusaha restoran tomyam.
“Jadi, tidak ada isu program Menu Rahmah ini tidak mendapat sokongan kaum selain Melayu. Janganlah kita jadikan perkara ini sebagai isu kaum, sebaliknya amalkan konsep Rahmah for all,” kata Salahuddin, dipetik oleh media.
Malah, kata Menteri itu, persatuan peniaga kaum Cina juga mahu menjayakan Menu Rahmah bagi memperluas manfaat yang diterima oleh rakyat.
RAIKAN PERBEZAAN
Mengulas polemik Menu Rahmah hanya disertai oleh kaum Melayu, pensyarah kanan di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya Mejar Dr Syed Abdul Razak Sayed Mahadi berkata selain menjadi keperluan asas manusia, makanan juga merupakan medium interaksi sosial dalam sesebuah masyarakat.
Makanan juga adalah wahana bagi memperkenalkan identiti dan budaya masyarakat, tambah beliau..
“Setiap manusia yang bernafas perlu makan, jadi, untuk mendapatkan makanan atau sumber makanan itu sendiri kita perlu ada interaksi sesama kita (dalam urusan jual beli), melibatkan mereka daripada pelbagai latar belakang serta agama, dan kita seharusnya meraikan perbezaan ini.
“Oleh itu, seharusnya tidak perlu ditimbulkan isu Menu Rahmah untuk satu kaum sahaja kerana menu makanan kita juga kebanyakannya adalah sama,” jelasnya lagi sambil memberi contoh nasi yang merupakan makanan ruji semua kaum di negara ini.
“Kalau kedai Melayu jual nasi berserta lauk-pauk, kaum lain juga boleh menikmatinya,” tambah beliau.
Syed Abdul Razak turut memberi contoh Menu Rahmah yang ditawarkan oleh beberapa rangkaian makanan segera, yang katanya dinikmati oleh semua kaum.
“Yang menariknya, apabila restoran makanan segera menawarkan Menu Rahmah, maka mereka yang kurang berkemampuan juga boleh menikmati hidangan ini,” kata beliau lagi.
BERI SOKONGAN
Syed Abdul Razak menyifatkan Menu Rahmah sebagai satu usaha kerajaan yang mendengar, meneliti dan menterjemah suara hati rakyat yang ramai daripadanya sedang mendepani era sukar.
Sehubungan itu, beliau melihat tindakan sesetengah pihak mempolitikkan Menu Rahmah hanya bertujuan menggagalkan inisiatif tersebut.
“Apabila semua mahu dipolitikkan dan dipandang dari sudut negatif, siapa sahaja yang memerintah dan melaksanakan dasar, pasti usaha itu sukar dijayakan.
“Menu Rahmah bukan hanya boleh dinikmati oleh kumpulan B40 tetapi merentasi semua latar belakang ekonomi,” tegas beliau.
Berharap inisiatif itu akan berkekalan, Syed Abdul Razak berkata penawaran Menu Rahmah sebenarnya mewujudkan situasi “menang-menang” bagi semua yang terlibat.
Seharusnya usaha yang baik demi kebajikan rakyat disokong oleh semua pihak, tidak kira fahaman politik, dan penulis, walaupun tidak pernah mencuba Menu Rahmah, juga ingin melihat golongan seperti Ah Heng terus dibantu oleh pihak berwajib. – TVS