KUALA LUMPUR, 16 Mac: Kerja – kerja membaiki kemudahan kesihatan di Batang Sadong perlu disegera bagi memastikan rakyat di kawasan berkenaan menerima perkhidmatan yang ditawarkan oleh kerajaan.
Ahli parlimennya, Rodiyah Sapiee berkata, ketika ini Hospital Simunjan, Klinik Kesihatan Semera, Klinik Kesihatan Sadong Jaya dan Klinik Kesihatan Jemukan memerlukan penyelenggaran berikutan masalah yang dihadapi di kesemua fasiliti kesihatan berkenaan.
Katanya, isu membabitkan hospital dan tiga klinik itu telah disuarakan semasa perbahasan baru – baru ini.
“Alhamdulillah, saya mendapat jawapan yang semuanya atau mungkin ada yang akan dimasukkan ke dalam Belanjawan 2023.
“Ini sangat penting terutama Klinik Kesihatan Semera yang telah ditutup kerana tidak selamat untuk beroperasi, jadi itu menjadi keutamaan kita pada tahun ini,” katanya ketika ditemui TVS di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Rodiyah juga berharap agar jaminan yang diberikan oleh kerajaan berhubung perkara itu akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan.
“Perkara ini disuarakan di Dewan Rakyat dan sudah tentu rakyat di Batang Sadong mendengar jawapan dan perbahasan mengenainya.
“Saya berharap agar pada penggal pertama sebagai Ahli Parlimen Batang Sadong, isu dan perkara yang diutarakan menjadi kenyataan dan direalisasikan,” katanya. -TVS