KUALA LUMPUR, 16 Mac: Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bertanggungjawab merangka inisiatif dan strategi untuk menangani inflasi dan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan di negara ini, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, inisiatif itu merupakan usaha berterusan oleh kerajaan serta pada masa sama bertujuan untuk meningkatkan pendapatan dan mewujudkan kuasa beli dalam kalangan rakyat.
Kata beliau, perkembangan positif dapat dilihat berdasarkan indeks harga pengguna yang menunjukkan peningkatan inflasi yang lebih rendah tahun ini berbanding pada tahun lepas.
“Sehubungan itu sebagai langkah sementara, kita mengambil pendekatan seperti mewujudkan Menu Rahmah, Jualan Rahmah dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (Perikatan Nasional – Arau) yang ingin tahu peranan dan pencapaian terkini NACCOL yang ditubuhkan semasa pemerintahan kerajaan lepas kerana kos sara hidup masih lagi tinggi dan dilihat semakin menekan rakyat.
Sementara itu, Fuziah turut memberitahu, kerajaan juga menekankan subsidi bersasar dan telah mengadakan bengkel bagi mengesan rakyat yang layak menerimanya.
Kata beliau, sebelum ini subsidi pukal digunakan namun kerajaan melaksanakan perubahan bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, Kerajaan Perpaduan juga mewujudkan Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan Kos Sara Hidup Rakyat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Tujuannya adalah untuk menyelaras pelaksanaan strategi serta pelan tindakan bagi menangani isu kos sara hidup dengan lebih efektif,” katanya.-TVS