Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Carsome turut mempunyai cawangan di Sarawak untuk menawarkan perkhidmatan kepada penduduk setempat. Foto: TVS

Parlimen: Enam startup Malaysia berpotensi cecah nilai lebih US$1 bilion

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Enam syarikat pemula (startup) tempatan berpotensi untuk mencapai nilai lebih US$1 bilion dan menjadi Unicorn negara yang seterusnya, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, ketika ini platform e-dagang kereta bersepadu tempatan, Carsome Group merupakan startup pertama negara yang mencapai nilai berkenaan.

Kata beliau, kementerian telah mengenal pasti syarikat startup yang berjaya melepasi cabaran awal dan berpotensi tinggi untuk menjadi startup berstatus Unicorn yang digelar sebagai ‘Soonicorn’.

“Enam syarikat berstatus soonicorn ini meliputi bidang seperti e-dagang, bio-perubatan, robotik, Internet Kebendaan (IoT) dan perbankan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Jimmy Puah Wee Tse (Pakatan Harapan – Tebrau) yang ingin tahu usaha kerajaan untuk membantu lebih banyak syarikat startup tempatan supaya berjaya muncul sebagai Unicorn yang boleh dibanggakan.

Sementara itu, Lih Kang turut memaklumkan, Program MYStartup merupakan salah satu inisiatif di bawah SUPER 2021-2030 yang dilancarkan pada 18 November 2021.

Kata beliau, melalui agensi pelaksana Cradle Fund, sebanyak 5,750 syarikat startup dan individu telah menerima manfaat daripada program-program yang dilaksanakan.

“Antara inisiatif yang dijalankan adalah MYHackathon, MYStartup Pre-Accelerator, MYStartup Accelerator dan program-program pembangunan ekosistem yang lain,” katanya.

Beliau memberitahu, portal MYStartup yang dilancarkan pula merupakan sebuah portal sehenti bagi ekosistem startup negara yang dibangunkan seiring dengan aspirasi SUPER 2021- 2030 bagi menjadi pangkalan data dan menghubungkan pemain ekosistem startup Malaysia.

“Sehingga kini portal tersebut telah mempunyai sebanyak 4,300 pengguna berdaftar, menyenaraikan hampir 3,000 syarikat startup, 500 pelabur tempatan dan luar negara serta 140 organisasi penyedia perkhidmatan, insentif dan program.

“Lebih membanggakan, portal tersebut telah menerima hampir 70,000 pengunjung dan menjadi sumber rujukan dari dalam dan luar negara,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan