LIMBANG, 16 Mac: Pertubuhan Wargamas Brunei Darussalam mengadakan lawatan muhibbah ke Radio Televisyen Malaysia (RTM) Limbang di sini, hari ini.
Objektif lawatan muhibbah yang disertai seramai 60 orang ahli pertubuhan berkenaan bertujuan untuk merapatkan hubungan dan mengukuhkan kerjasama antara dua negara selain menimba pengalaman berharga di utara Sarawak.
Lawatan mereka diteruskan lagi ke Tamu Khamis sebelum meneruskan perjalanan ke Daerah Temburong Brunei Darussalam.

Ketua rombongan merangkap Yang Dipertua Pertubuhan Wargamas Brunei Darussalam, Abu Bakar Md Don, berkata Limbang dipilih sebagai lokasi lawatan muhibbah pihaknya selepas mengunjungi Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Bintulu.
Menurutnya, lawatan muhibbah berkenaan merupakan antara program yang dilaksanakan sepanjang tahun selain memperkasakan hubungan muhibbah antara Brunei dan Sarawak.
Abu Bakar memberitahu Pertubuhan Wargamas tersebut merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Negara Brunei Darussalam yang telah berdaftar dengan pihak Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 2019.
“Ahli-ahli wargamas pada masa ini adalah seramai 1,100 orang dan yang menyertai lawatan ini adalah seramai 60 orang, ini adalah tahun keempat Pertubuhan Wargamas diluluskan pelbagai rancangan diatur termasuk berkunjung ke Bintulu dua minggu lepas,” katanya kepada TVS ketika ditemui di RTM Limbang hari ini.
Mengulas mengenai Lawatan Muhibbah itu menurutnya ia memberi satu pengalaman berharga kepada ahli Wargamas selain tersentuh dengan layanan mesra yang diberikan pihak RTM Limbang.
“Limbang dan Brunei amat rapat dan mesra sejak dahulu lagi kerana kebanyakan mereka adalah bersaudara dan merupakan ahli keluarga terdekat,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Biro Lawatan Pertubuhan Wargamas Brunei Darussalam, Pengiran Chuchu Pengiran Wahab menjelaskan Lawatan Muhibbah mencapai objektifnya dalam merapatkan hubungan antara dua negara.
Selain Limbang katanya Program Lawatan Muhibbah akan dilaksanakan di kawasan lain di Sarawak selain Kuching, Kuala Lumpur dan Indonesia yang akan diadakan pada tahun ini.
“Ini adalah lawatan kami yang kelima iaitu sebelum ini kami pernah mengadakan lawatan ke Labuan, Beaufort Sabah baru-baru ini dan terbaharu di Bintulu.
“Pada tahun ini, kita merancang untuk mengadakan lawatan ke tempat-tempat yang lebih jauh seperti Kuching Sarawak, Kuala Lumpur, Indonesia dan tempat-tempat lain,” jelasnya.
Turut sama Penasihat Pertubuhan Wargamas Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Metussin Baki dan Pengurus Stesen RTM Limbang, Amran Tut. –TVS