KUALA LUMPUR, 16 Mac: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan pemain industri di negara ini menawarkan gaji permulaan sekurang-kurangnya RM3,000 kepada graduan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Majlis TVET negara, berkata gaji minimum itu munasabah memandangkan graduan TVET adalah pekerja mahir yang telah menjalani kursus kemahiran.
“Pekerja mahir akan mempertingkat produktiviti… dan produktiviti ini dalam jangka panjang akan mengurangkan kos untuk menghasilkan produk akhir atau perkhidmatan akhir dan ini adalah munasabah kerana mereka pekerja terlatih serta sesuai dengan kehendak pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis memeterai Memorandum Kerjasama Transformasi Program TVET antara kerajaan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta di Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata gaji minimum RM1,500 dan RM2,208 adalah tidak mencukupi atau setimpal bagi graduan TVET.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Feb lepas, berkata data menunjukkan 90 peratus graduan TVET mendapat kerja dengan gaji rendah sekitar RM2,000 dan ia memerlukan pembaharuan agar mereka menerima gaji lebih RM2,000.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata kerajaan ingin melihat keberkesanan yang optimum bagi program TVET dalam melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran.
Katanya kerajaan juga memutuskan agar pelajar TVET diberi kelonggaran pemindahan kredit untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) selain menegaskan koordinasi di antara 12 kementerian sedang dilakukan bagi melahirkan pekerja berkemahiran.
Dalam pada itu, beliau menyasarkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing akan dapat dikurangkan kepada 25 peratus menjelang 2030.
”Hakikat mesti diakui bahawa negara maju di Timur tidak memerlukan pekerja asing, mereka menggunakan tenaga tempatan 100 peratus. Malaysia perlu menuju ke arah itu,” katanya.
Beliau berkata pengambilan pekerja asing wajib dikurangkan dan hanya dikhaskan dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) manakala keutamaan perlu diberikan kepada tenaga tempatan bagi sektor lain.
Terdahulu, Ahmad Zahid menyaksikan 10 Memorandum Kerjasama dimeterai antara kerajaan, yang ditandatangani oleh Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar, dengan pihak industri seperti Petronas, Gamuda Berhad, Sunway Services, DRB Hicom, Berjaya Corporation, Redbeat Academy Sdn Bhd (Airasia Academy), Daikin Malaysia Sdn Bhd, Bermaz Auto Berhad, Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB).
Menerusi memorandum itu, rakan strategik industri akan terlibat secara langsung dalam pelaksanaan pogram TVET melalui pembangunan kurikulum dan bahan latihan, sumbangan dan perkongsian kemudahan serta peralatan, sumbangan khidmat kepakaran, pembangunan kompetensi tenaga pengajar serta pembiayaan program latihan.
Ahmad Zahid menyifatkan ia sebagai permulaan dalam memperkasakan lagi bidang TVET bagi memenuhi keperluan pemain industri sekali gus mengelakkan berlaku ketidakpadanan kemahiran dalam kalangan graduan.
Beliau turut menyasarkan sebanyak 100 Memorandum Kerjasama Transformasi bersama syarikat swasta akan dapat dimeterai menjelang akhir tahun ini. – TVS