KUCHING, 15 Mac: Kerajaan Sarawak menyokong inisiatif berkaitan teknologi hijau seperti pembinaan kilang penghasilan panel solar berasaskan silikon pertama di Asia Tenggara di negeri ini dengan kos RM6.7 billion.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh berkata tapak pembinaan kilang berkenaan sudahpun dikenal pasti di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu.
Menurutnya pembinaan kilang tersebut akan diterajui oleh empat syarikat iaitu Adam Digital Asset Sdn Bhd, Solar Pulse Sdn Bhd, Haitai Solar dan China Machinery Engineering Corporation (CMEC) yang menandatangani perjanjian persefahaman (MOA) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.
“Jika projek ini berjaya, Sarawak boleh menjadi pemain utama untuk mengurangkan kesan pemanasan global dengan penggunaan tenaga hijau,” ujarnya.
Malcolm dalam pada itu memberitahu penghasilan panel solar konvensional akan melepaskan dalam 57 unit karbon perkilogram.
“Tetapi dengan teknologi baharu ini, pelepasan karbon perkilogram dapat dikurangkan sehingga 17 unit karbon perkilogram,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Adam Digital Asset Sdn Bhd, Tan Sri Dato Sri Khalid Abu Bakar berkata projek tersebut akan dimulakan pada awal tahun 2024 dijangka siap pada tahun 2025.
Kilang tersebut menurutnya lagi dijangka akan beroperasi secara penuh menjelang 2026.
“Kita akan dapat memberi 4,000 peluang pekerjaan di mana 3,800 akan terdiri daripada 3,800 pekerja berkemahiran dan 200 golongan professional.
“Ini selari dengan matlamat kerajaan Sarawak di dalam Strategi Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk menyediakan 40 peratus peluang pekerjaan dalam sektor berkaitan dengan aplikasi teknologi tinggi,” ujarnya.
Majlis hari ini menyaksikan Adam mewakili syarikatnya, manakala Solar Pulse Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Izzat Sulaiman Mohd Izhar, Pengerusi Haitai Solar, Wang Yong dan Pengarah Projek CMEC Malaysia, Jeff Xie Xi. –TVS