KUALA LUMPUR, 15 Mac: Kerajaan akan meneliti beberapa kriteria bagi menimbang rayuan pemohon yang tidak layak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim berkata, pemohonan yang gagal disebabkan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga boleh membuat permohonan baharu sebelum 31 Mac ini.
Katanya, kementerian akan melakukan semakan silang berdasarkan data terkini dan dokumen sokongan.
“Sebenarnya STR kita (kerajaan) berikan kepada golongan yang layak (namun) kerajaan mengambil kira beberapa faktor seperti semakan perniagaan, pemilikan kediaman dan kenderaan.
“Ini memastikan setiap penerima dinilai secara menyeluruh dan bukan pendapatan semata – mata selaras dengan amalan terbaik seperti disaran oleh Bank Dunia,” katanya di sini.
Steven berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (Pakatan Harapan – Bentong) yang ingin tahu tindakan kerajaan untuk membantu golongan yang tidak layak menerima bantuan berkenaan berdasarkan faktor rekod SSM.
Mengulas lanjut, Steven berkata, kaedah yang digunakan oleh kerajaan dalam menyalurkan bantuan berkenaan bertujuan untuk memastikan ketelusan yang lebih tinggi.
Sementara itu, beliau memberitahu, setakat hari ini, kerajaan telah menerima sebanyak 355 966 permohonan baharu bagi STR. -TVS