Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie.Foto Firdaus Ismail (TVS)

Parlimen: Apa status naik taraf jalan di Sri Aman ekoran ‘kes’ Jana Wibawa, soal Doris Sophia

ByAhmad Burhanuddin

KUALA LUMPUR, 15 Mac: Keadaan jalan raya di beberapa kawasan di Sri Aman yang rosak teruk perlu dipulih segera berikutan Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan besar mencecah RM1.08 bilion untuk tujuan berkenaan.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata, pengagihannya perlu diperincikan supaya lebih banyak kawasan mendapat manfaat.

Katanya, di Sri Aman terdapat dua buah projek di bawah Program Jana Wibawa yang diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama, Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 (RMK-12).

“Ia membabitkan projek menaik taraf Jalan Pantu, Kerenggas dan Enkeranji dengan anggaran RM141.9 juta dan projek menaik taraf Jalan Tuba, Muding dan Pelaie dengan anggaran kos RM354.5 juta,” katanya ketika perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Doris Sophia berkata, tujuan isu ini dibangkitkan ialah kerana beliau difahamkan projek itu telah digantung atau ditangguhkan berikutan ia dilaksanakan di bawah Jana Wibawa.

“Oleh itu, saya ingin mengetahui apakah langkah kerajaan (atau kementerian) bagi menentukan projek ini boleh diteruskan,” katanya.

Mengulas lanjut, Doris Sophia berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan berikutan ‘kesengsaraan’ yang terpaksa ditanggung oleh rakyat di sana disebabkan jalan rosak.

“Jalan yang digunakan sekarang merupakan bekas jalan balak atau jalan ladang kelapa sawit yang keadaannya sangat teruk terutamanya ketika musim tengkujuh malah sukar untuk dilalui walaupun oleh kenderaan pacuan empat roda,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian Dewan Rakyat apabila memberitahu, ketika isu ini dibangkitkan di sini, rakyat di kawasannya sedang terkesan berikutan terpaksa menggunakan jalan yang ditenggelami air dan mereka terputus hubungan dengan masyarakat luar.

“Oleh itu, saya mohon kepada kementerian, janganlah tangguh projek ini agar kesengsaraan masyarakat di tempat saya tidak berpanjangan,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan