KUCHING, 15 Mac: Malaysia mencatatkan nilai import bagi bahan mentah yang tinggi iaitu lebih 60 peratus berbanding nilai barangan import
Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan UNIMAS, Dr Dzul Hadzwan Husaini berkata ekonomi negara mengamalkan satu sistem terbuka yang menyaksikan nilai eksport dan import adalah besar berbanding nilai pengeluaran tempatan.
Justeru itu, Dr Dzul menekan usaha untuk menstabilkan nilai ringgit dengan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti perlu diutamakan.
Menurutnya inisiatif berkenaan harus seiring dengan objektif agar ringgit dapat dikukuhkan tanpa bergantung kepada pemboleh ubah dasar monetari itu sendiri.
“Ini adalah kerana kebergantungan negara pada hutang luar negeri adalah tersangat rendah sebenarnya. Ini menyebabkan perbelanjaan awam kerajaan tidak begitu terganggu dengan pengukuhan dolar.
“Kita mahukan ringgit itu mempunyai harga di dalam dan di luar negara melalui peningkatan tahap produktiviti,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi TVS bagi mengulas mengenai kenyatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan pengukuhan dolar Amerika tidak menjejaskan pendapatan dan perbelanjaan kerajaan.
Sehubungan dengan itu, Dr Dzul menegaskan kerajaan tidak dapat mengambil ringan terhadap perkara berkenaan.
Tambah beliau lagi, selepas pandemik COVID-19, imbangan perdagangan terus menunjukkan lebihan walaupun kecenderungan ringgit itu melemah.
Pada asasnya apabila nilai ringgit melemah, jelas beliau barangan eksport akan dijual pada harga yang murah dan barang import akan menjadi mahal.
“Ringgit yang melemah akan menyebabkan kos barangan meningkat dan juga menyebabkan harga barangan eksport juga meningkat. Jika kita lihat mengapa keadaan ringgit melemah, masih lagi mengukuhkan imbangan perdagangan.
“Ini adalah kerana ia lebih bersifat ke arah ‘managerial’ seperti kontrak yang masih aktif yang perlu pihak pengeluar dan pembeli patuhi tanpa mengira perubahan persekitaran ekonomi,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Dr Dzul menegaskan kerajaan seharusnya lebih serius dalam usaha menguatkan ringgit tanpa bergantung kepada perkembangan monetori negara Amerika Syarikat.- TVS