KUCHING, 15 Mac: Sebuah kafe di Kampung Sindang, Kota Samarahan yang meyajikan Laksa Sarawak telah mencuri perhatian beberapa orang pelakon terkenal tanah air.
Perkongsian pelakon watak Ustaz Hamadi, Azhan Rani dalam satu hantaran di Facebooknya semalam telah membawa rakan-rakan artisnya ke kafe berkenaan.
“Petang ini kita bawa kawan dari Semenanjung Malaysia ke Kampung Sindang, Kota Samarahan untuk menikmati Laksa Sarawak,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Petah berbahasa Sarawak, Azhan yang berkata rakannya, Marisa Yasmin pernah berada di Kuching selama dua bulan pengambaraan turut bersetuju bahawa laksa di kafe tersebut lebih sedap berbanding laksa yang dirasainya sebelum ini.
Manakala, bagi pelakon, Aedy Ashraf yang sebelum ini tidak menyukai Laksa Sarawak pula telah menghabiskan semangkuk laksa di kafe tersebut.
Dalam nada berseloroh, menurut Azhan dirinya terasa lapar semasa melakukan hantaran di Facebooknya. -TVS