MIRI, 14 Mac: Pembukaan cawangan Putra Cat Hotel Services di sini akan dapat memenuhi keperluan pemilik kucing untuk ‘meninggalkan’ haiwan peliharaan mereka sekiranya perlu melakukan perjalanan jauh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus berkata, berikutan peredaran zaman, wujud pelbagai perkhidmatan yang tidak pernah disangka sebelum ini sekali gus membuka peluang ekonomi untuk masyarakat setempat.
“Ini merupakan satu keperluan sekarang.Saya ucapkan tahniah kepada Putra Cat Hotel Services Miri kerana menyambut seruan dan keperluan masyarakat di Miri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Perasmian Pembukaan Putra Cat Hotel Services di sini hari ini.
Sementara itu, Rosey juga mengharapkan agar para belia supaya lebih kreatif termasuk menjadikan hobi sebagai peluang perniagaan seperti yang dilakukan oleh Pengasas Putra Cat Hotel Services, Sufian Mohat.
Katanya, peluang untuk melibatkan diri dalam keusahawanan berdasarkan idea dan keperluan setempat perlu diteroka oleh anak muda.
Sementara itu, Sufian berkata, Putra Cat Hotel kini mempunyai tiga cawangan dengan dua lagi di Limbang dan Lawas.
“Saya juga berharap agar cawangan ini dapat dijadikan sebagai pusat perhentian kepada para pemilik kucing di Miri yang menyediakan pelbagai perkhidmatan yang diperlukan selain dandanan dan hotel supaya mereka tidak sukar untuk melakukan perjalanan yang jauh,” katanya. -TVS