Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata perkara itu adalah sebagai simbolik dalam mengusahakan Komuniti Ekonomi ASEAN, selain dapat mengerat silaturahim serta semangat muhibah sesama negara dari rantau itu.
“Kita perlu lebih saling kenal-mengenal sesama kita dan mula menonjolkan berita yang berlaku di negara masing-masing tetapi dalam suasana yang muhibah dan mengukuhkan ASEAN itu sendiri.
“Jadi saya harap itu akan dapat kita terjemahkan bila kita lakukan atau kita laksanakan program HAWANA 2023 nanti,” katanya selepas mengadakan perjumpaan bersama wakil agensi media tempatan, malam tadi.
Fahmi berkata antara program yang akan diketengahkan pada HAWANA 2023 ialah melibatkan etika kewartawanan serta isu yang dihadapi oleh wartawan ketika ini.
Menurut Fahmi perkara itu dapat memberi ruang kepada semua pihak supaya lebih memahami kebajikan dan profesionalisme kewartawanan serta cabaran yang dihadapi dan penyelesaian daripada kerajaan mahupun agensi media sendiri.
“Saya berharap menjelang penganjuran HAWANA 2023 nanti, kita akan dapat umumkan beberapa perkara yang pihak kerajaan ingin laksanakan dan kita faham pascapandemik keadaan yang dihadapi bukan hanya para wartawan tetapi organisasi media di Malaysia.
“Banyak cabaran yang dihadapi dan saya percaya menjelang HAWANA 2023 nanti, kita akan dapat beri sedikit hala tuju ke depan bagi ekosistem media di Malaysia,” katanya.