Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Abdullah menyaksikan penyerahan projek siap sempena lawatan turun kerja di Jalan Sambungan (Missing Link) di Kampung Penuai, hari ini. Foto: TVS

Empat jambatan konkrit baharu bakal dibina di utara Pulau Bruit

DARO, 15 Mac: Pembinaan empat buah jambatan konkrit baharu laluan dua hala yang menghubungkan jalan utama di utara Pulau Bruit yang menelan belanja RM 20 juta bakal dilaksanakan tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol berkata tempoh pelaksanaan kemudahan yang bakal menggantikan jalan sehala sedia ada itu telah ditetapkan selama dua tahun.

“Pada masa yang sama, saya bersama Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abdul Wahab memohon peruntukan untuk pembinaan jalan dari Kampung Bruit ke Sungai Nai yang diluluskan sebelum ini dikekalkan.”

“Saya harap jalan ini dapat dilaksanakan dan kalau tidak cukup, mungkin kerajaan negeri dapat menampung sebahagian daripada peruntukan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Tapak Projek Siap Jalan Sambungan (Missing Link) di Kampung Penuai, di sini, hari ini.

Menurut beliau laluan penghubung sepanjang satu kilometer yang bernilai RM2.5 juta itu pula dijangka siap dalam tempoh enam bulan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.

“Kemudahan yang disediakan bukan sahaja memudahkan perhubungan tetapi juga bakal membawa impak besar kepada komuniti setempat.”

“Kita bersyukur sistem perhubungan jalan di Pulau Bruit ini adalah sebahagian yang paling utama selain daripada jalan ladang yang sudah di tar,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan kerisauan beliau terhadap aduan kerosakan jalan dan jeti serta ban yang pecah akibat hujan lebat.

“Saya juga telah meminta pemimpin-pemimpin kampung atau rumah panjang untuk sentiasa memantau kerosakan kemudahan asas di penempatan masing-masing serta mahu mereka cepat membuat aduan supaya tindakan segera dapat dilaksanakan,” tegasnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan