KUCHING, 15 Mac: Seramai 3,000 peserta disasarkan menyertai acara ‘Bunny Autism Run 2023’ pada April ini.
Larian yang dianjurkan Persatuan Autisme Kuching itu ditaja oleh 38 Yayasan Amal Cinta selaku penaja utama.
Antara penaja lain yang terlibat ialah I-Metal, Lee Onn Development Sdn Bhd, Tecktonic and Sons, Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), Atur Pelancang Telus Sdn Bhd, KDI Architects, Trienekens, Hock Peng Sdn Bhd dan SOCOE.
Terdahulu, persatuan berkenaan telah mengumumkan beberapa penaja dari pelbagai syarikat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang telah mengikrarkan sokongan mereka kepada ‘Bunny Autism Run 2023’.
Menurut jurucakapnya, larian berkenaan dianjurkan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam penerimaan masyarakat terhadap komuniti autisme di sini.
Sehingga 12 Mac, larian berkenaan berjaya memperoleh penyertaan lebih 1,000 pelari yang berdaftar.
Sebelum ini, persatuan tersebut juga telah menerima peruntukan sebanyak RM4.179 juta daripada kerajaan Sarawak bagi pembinaan blok pendidikan yang baharu.
Sehubungan dengan itu, Persatuan Autisme Kuching menggesa pihak berkuasa untuk mempercepatkan proses meluluskan pembinaan blok pendidikan kedua Persatuan Autisme Kuching terbabit.
Turut hadir Penaung Persatuan Autisme Kuching, Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud yang merupakan isteri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.-TVS