SIBU, 14 Mac: Seorang remaja lelaki maut selepas dihempap besi pagar seberat dua tan di sebuah bengkel pengangkutan jentera berat di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun berhubung kejadian pada jam 10.48 pagi.
“Pihak polis dari Balai Polis Lanang serta Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sibu yang tiba di tempat kejadian mendapati mangsa berusia 18 tahun dijumpai dalam keadaan terbaring di tempat kejadian.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat dihempap besi pagar yang dianggarkan seberat dua tan,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan 7.45 petang hari ini.
Menurut Zulfipli hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan di lokasi kejadian susulan itu mayat mangsa  dihantar ke rumah mayat Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.
“Bedah siasat akan dilakukan untuk mengetahuii punca kematian dalam masa terdekat ini,” katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – TVS