KUALA LUMPUR, 14 Mac: Dewan Rakyat dimaklumkan atlet elit negara akan dihantar menyertai lebih banyak kejohanan tempatan dan luar negara sebagai persiapan untuk mencapai impian emas Olimpik pertama negara.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, selain itu beberapa strategi turut dikenal pasti tanpa ‘mengganggu’ program podium yang telah dilaksanakan sebelum ini.
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) umum pasukan projek Road To Gold dengan objektif untuk menyelaraskan usaha negara meraih emas pertama di Olimpik.
“Jawatankuasa yang dibentuk akan bekerjasama dengan program podium sedia ada yang mana tumpuan diberikan kepada persediaan atlet sertai kejohanan dalam dan luar negara, aspek jurulatih, kakitangan sokongan, sains sukan serta bina diri,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, Hannah mengumumkan pembentukan Pasukan Projek Road to Gold bagi menyelaras usaha meraih pingat emas Olimpik di Paris 2024 dan Los Angeles 2028. -TVS