KUALA LUMPUR, 14 Mac: Seramai 4,293 pelatih GiatMara berjaya menceburi bidang keusahawanan, kata Datuk Rubiah Wang.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, jumlah itu mewakili 13.8 peratus pelatih yang mendapat pendedahan di GiatMara seluruh negara bagi tempoh 2020 hingga tahun lepas.
Pada masa sama katanya, seramai 19,680 orang pelatih atau 63.3 peratus yang dilatih bagi tempoh sama berjaya mendapat pekerjaan.
“Sejak ditubuhkan pada 1986, GiatMARA juga telah berjaya melatih seramai 398,163 orang masyarakat Bumiputera membabitkan pelbagai latar belakang di seluruh negara,” katanya pada Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid (Pakatan Harapan – Bukit Bendera) yang ingin tahu jumlah peserta GIATMARA yang tamat kursus disediakan dan jumlah peserta yang telah menjadi usahawan dan pekerja mahir terutamanya belia yang keciciran pelajaran.
Sementara itu, Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata, kerajaan sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan laluan dan peluang kerjaya yang jelas kepada lepasan pelatih GiatMARA.
Kata beliau, antaranya adalah seperti pelaksanaan program artikulasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi membuka peluang kepada lepasan pelatih meningkatkan kemahiran atau menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Tambahnya lagi, pelatih turut berpeluang menyambung pelajaran melalui sistem pendidikan MARA seperti Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
“Bantuan yang disalurkan kepada peserta yang menamatkan latihan adalah seperti program Job Guarantee dan Job Matching Program bersama dengan pemain industri bagi mempertingkatkan kebolehpasaran pelatih-pelatih GiatMARA.
“Selain daripada itu, pihak kementerian melalui MARA juga menyediakan pelbagai skim dalam usaha membantu para peserta yang menceburi bidang keusahawanan,” katanya.-TVS