Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Fadillah Yusof ketika menghadiri bengkel projek People Positive Palm (P3) di sini, pada Selasa. Foto: Fadillah Yusof (FB).

HRDD akan lonjak Malaysia sebagai destinasi pilihan pekerja migran – Fadillah

ByBernama

KUALA LUMPUR, 14 Mac: Penilaian Wajar Hak Asasi Manusia (HRDD) adalah alat utama untuk menyokong amalan perniagaan bertanggungjawab dan memastikan Malaysia menjadi destinasi pilihan pekerja asing dan industri minyak sawit, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata HRDD tidak seharusnya dilihat sebagai beban sebaliknya ia adalah kelebihan untuk perniagaan.

“Ia membolehkan perniagaan Malaysia memimpin melalui teladan, meningkatkan daya tahan dan menjamin boleh eksport produk mereka di peringkat global di samping mewujudkan sistem yang kukuh untuk menjangkakan gangguan pasaran semasa krisis,” katanya ketika berucap merasmikan bengkel projek People Positive Palm (P3) di sini, pada Selasa.

Bengkel Projek P3 yang dianjurkan Forum Barangan Pengguna (CGF), Gabungan Hak Asasi Manusia (HRC), Persatuan Buruh Adil (FLA) dan Pertubuhan Antarabangsa mengenai Migrasi (IOM) memberi tumpuan kepada HRDD.

Beliau berkata HRDD telah diserapkan dalam perundangan negara tertentu yang menjadi destinasi eksport bagi perniagaan Malaysia.

“Ini perlu dilihat secara positif sebagai peluang untuk memastikan kerjasama seluruh rantaian bekalan dalam mengukuhkan amalan perniagaan bertanggungjawab dan mencari penyelesaian inovatif untuk menangani cabaran yang wujud.

“Semua perniagaan, daripada pekebun kecil sehingga syarikat multinasional, memerlukan akses kepada alat praktikal untuk membantu mereka melaksanakan HRDD dan meningkatkan impak positif perniagaan masing-masing,” katanya.

Fadillah berkata amalan positif semua pihak akan membantu perniagaan menberikan hasil yang positif dan mampan kepada pekerja dengan meningkatkan kesejahteraan mereka; untuk perniagaan dengan meningkatkan produktiviti dan daya tahan; serta untuk pelabur dengan memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap kesan sosial yang positif dalam portfolio pelaburan mereka.

“Dalam hal ini, industri minyak sawit di Malaysia berpotensi menjadi model untuk dicontohi oleh industri lain, di rantau ini dan di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata justeru, untuk tujuan ini, penjajaran usaha perniagaan dengan kerajaan adalah paling penting.

Melindungi hak asasi manusia adalah menjadi kewajipan kerajaan di samping menggalakkan pertumbuhan ekonomi, manakala tanggungjawab perniagaan adalah mematuhi semua undang-undang dan peraturan selain berusaha untuk memaksimumkan keuntungan, katanya.

“Bersama-sama rakan kongsi institusi seperti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), IOM dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), kerajaan Malaysia akan terus memperkukuh usaha untuk menyokong pendekatan positif ke atas semua pekerja.

“Ini termasuk kerjasama dalam pembelajaran dan latihan serta membangunkan dasar dan pelan tindakan positif warga, dan memastikan tiada sesiapa yang terpinggir termasuk pekebun kecil,” katanya.

Kerajaan telah melaksanakan langkah untuk meneruskan matlamat ini yang merangkumi pelaksanaan Pelan Tindakan Nasional mengenai Buruh Paksa dan rancangan pelancaran Pelan Tindakan Nasional mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia.

“Inisiatif ini akan membantu memastikan industri minyak sawit di Malaysia boleh menjadi contoh bagi transformasi industri lain, dan Malaysia boleh meneraju di peringkat global, menggalakkan negara lain mengikut laluan ke arah industri positif warga, menunjukkan cara HRDD boleh menjadi berkesan apabila dilaksanakan di lapangan,” katanya.

Fadillah berharap sektor minyak sawit, melalui pendekatan perniagaan pragmatik terhadap HRDD, akan menangani punca utama buruh paksa secara mampan dan berstruktur.

“Masih banyak yang perlu dilakukan ke arah menyelesaikan semua isu yang kita hadapi, tetapi memetakan laluan yang betul sejak mula adalah amat penting, dan saya percaya ini termasuk apa yang kita lakukan di sini hari ini,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan