Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jualan buah kurma di sekitar Kuching. Foto: TVS.

Buah kurma ‘hangat’ di pasaran seminggu menjelang Ramadan

KUCHING, 14 Mac: Menjelang Ramadan yang bakal tiba, pasti pelbagai persiapan yang akan dilakukan oleh umat Islam untuk menyambut bulan yang mulia ini.

Antara perkara pertama yang sering diutamakan adalah mendapatkan bekalan makanan sunnah, buah kurma sebagai juadah pertama untuk berbuka puasa.

Tinjauan TVS hari ini mendapati rata-rata pembekal buah kurma yang ditemui di sekitar Kuching memberi reaksi positif bahawa manisan sunnah yang berasal dari Timur Tengah itu mendapat sambutan baik daripada masyarakat.

Jualan buah kurma di sekitar Kuching. Foto: TVS.

Menurut seorang penyelia kedai menjual pemanis itu, Faziyatul Afiezza, memberitahu kebanyakkan penggemar buah kurma bukan sahaja membeli untuk keperluan berbuka puasa malah mereka juga membeli dalam kuantiti yang banyak untuk diagihkan kepada surau dan orang kampung.

Faziyatul Afiezza. Foto: TVS.

“Ramai orang datang membeli buah kurma berkotak-kotak untuk didermakan iaitu dalam sekotak mempunyai 12 kotak kecil buah kurma. Dalam minggu ini, sudah ada yang datang membeli dan katanya untuk sedekah kepada orang lain sebagai persediaan awal bulan puasa.”

“Promosi jualan buah kurma ini biasanya sehingga dekat Hari Raya. Kadang kala, ada pelanggan dari Bintulu dan Sibu datang membeli,” katanya.

Berbeza strategi menurut pegawai pemasaran buah kurma jenama tempatan, Mohd Khairulazfar Nizam, pihaknya menyasarkan jualan buah kurma premium seperti kurma tanpa biji untuk bulan Ramadan kali ini.

Tambahnya jualan buah kurma berkualiti tinggi itu didapati mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja dari Sarawak namun termasuk Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Mohd Khairulazfar Nizam. Foto: TVS.

“Alhamdulillah, permintaan buah kurma premium dari pelanggan amat luar biasa. Kami juga ada menghantar buah kurma ke Bintulu dalam satu kontena besar, ke Selangor dan Sabah. Tahun ini orang ramai lebih berjaga-jaga dengan membeli kurma yang kami jual lebih awal dan jualan kami telah meningkat secara luar biasa berbanding tahun lepas,” katanya.

Sementara itu, menurut peniaga kurma di salah sebuah premis di India Street, Syeikh Abdul Sattar mendedahkan perniagaan buah kurma yang diusahakan beliau masih rancak seperti sebelum ini dengan membawakan pelbagai jenis buah kurma.

Pengusaha kurma memasuki generasi ketiga itu memberitahu perniagaan keluarganya kini telah bertapak sejak tahun 60-an menjanjikan buah kurma yang dijual pada tahun ini merupakan bekalan yang terbaik.

Syeikh Abdul Sattar. Foto: TVS.

“Insya-Allah sambutan buah kurma baik pada tahun ini kerana bekalannya juga bagus. Pelanggan selalunya datang membeli kurma dua hari sebelum bulan puasa tetapi sekarang pun sudah ramai yang datang membeli buah kurma.”

“Minggu depan mungkin lebih ramai lagi dan stok buah kurma masih banyak kerana baru sampai. Saya menjual buah kurma Medjul, Mariami, Ajwa, Anggur, Rabbi, Egypt dan banyak lagi,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan