BUTTERWORTH, 14 Mac: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas pelbagai jenis alat permainan seks yang bernilai kira-kira RM1.1 juta dalam serbuan ke atas sebuah gudang di Bukit Mertajam di sini, bulan lalu.
Menurut Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yusoff, pihaknya turut menahan seorang wanita berusia 29 tahun yang merupakan pemilik perniagaan itu menerusi Op Maya tersebut.
Menurutnya, serbuan berkenaan mendapati gudang tersebut menempatkan pelbagai bentuk alat permainan seks seperti patung seks, alat kemaluan lelaki dan perempuan serta peralatan lain berkaitan.
“Hasil siasatan mendapati 22,929 unit alat mainan seks itu dibawa masuk dari luar negara bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Siasatan juga mendapati wanita itu aktif dalam kegiatan tersebut sejak tahun lalu dan dipasarkan secara dalam talian pada harga antara RM70 hingga RM450 seunit,” katanya pada sidang media di pejabat KDN Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau menambah, operasi berkenaan dilakukan dalam usaha pihaknya membanteras pengedaran, penjualan dan pembelian alat permainan seks yang dilarang.
“Wanita tersebut telah dihadapkan ke mahkamah baru-baru ini dan didenda RM5,000 selepas didapati bersalah.”
“Kita akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terlibat elemen memudaratkan kemoralan, ketenteraman awam, keselamatan negara dan menggemparkan fikiran orang ramai yang berlawanan dengan undang-undang,” katanya.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 dan Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan.- TVS