Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Fatimah Abdullah

Usah malu jalani pemeriksaan awal bagi mengesan kanser serviks – Fatimah

ByNazirah Adlina

KUCHING, 13 Mac: Kesedaran mengenai kanser serviks dalam kalangan wanita perlu ditingkatkan bagi mengurangkan kes di Sarawak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.

Menurutnya, Sarawak merupakan negeri tertinggi bagi kes kanser serviks atau kanser pangkal rahim dalam kalangan wanita dengan kadar 12.1 daripada setiap 100,000 wanita dicatatkan di seluruh Malaysia.

Tegasnya, jumlah itu merupakan perkembangan membimbangkan dan pihaknya komited untuk memberi pendedahan serta pencegahan bagi kanser serviks melalui program-program kesedaran.

“Saya dan kementerian serta agensi badan bukan kerajaan (NGO) komited untuk menyokong program-program yang dijalankan.

“Hal ini bertujuan untuk memberi kesedaran di dalam kalangan komuniti kita, terutama sekali di kawasan luar bandar, kerana dari segi akses kepada fasiliti perubatan mahupun khidmat rawatan adalah kurang jika dibandingkan dengan kawasan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena kunjungan hormat daripada Pink & Teal Empower yang diketuai Prof Dr Awi Idi dan turut disertai Dr Abigail Jerip di pejabatnya, di sini, hari ini.

Fatimah berkata lagi, golongan wanita, terutama sekali mereka yang berada dalam lingkungan umur 15 tahun ke atas atau mereka dari pedalaman agar mengenepikan perasaan malu menjalani pemeriksaan dan seterusnya mendapatkan rawatan awal.

Kanser serviks mempunyai kadar pulih yang tinggi jika dapat dikenal pasti dan dirawat pada peringkat awal, jelasnya.

“Kita faham perasaan wanita kerana ia berkaitan dengan bahagian badan yang biasa kita tutup. Tetapi ingat, ini adalah untuk kebaikan dan bukan untuk saja-saja. Jangan tunggu sampai sudah lewat baru tampil ke hadapan untuk dapat rawatan,” ujarnya.

Menurutnya, antara yang perlu dilakukan berkaitan kanser serviks ialah ujian Human Papillomavirus (HPV) dan  suntikan vaksin HPV yang boleh diperolehi di Klinik Nur Sejahtera Kuching (LPPKN) secara percuma bagi golongan B40.

Mengenai kunjungan hormat itu, ia bertujuan majlis pelancaran semula Program Sarawak Urban And Rural Action For Cervical Cancer Prevention (SUARA), iaitu program kesedaran kanser serviks.

Di bawah program itu, satu acara larian pengumpulan dana, ‘Tutu Run and High Heel Dash’ akan diadakan pada 14 Mei bertempat di Saradise Edge. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan