KUCHING, 13 Mac: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Pengelola Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak Kali Ke-62 Tahun 1444H/2023M di Demak Jaya, di sini, hari ini.
Kunjungan diketuai Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha itu bertujuan untuk memaklumkan tentang penganjuran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al- Quran Peringkat Sarawak Tahun 1444H/ 2023M sekali gus mengundang Tun Taib untuk hadir dan menyempurnakan upacara penyampaian hadiah pemenang program berkenaan.
Majlis bertemakan ‘Sarawakku Maju Makmur’ tersebut bakal diadakan bermula 15 hingga 18 Mac 2023 di Dewan Suarah, Bintulu dan akan disertai oleh seramai 37 peserta yang terdiri daripada lapan peserta hafazan lelaki, 10 peserta hafazan wanita, 11 Qari serta lapan Qariah yang mewakili sembilan bahagian di Sarawak.
Johan bagi majlis tilawah Kategori Qari dan Qariah masing-masing akan membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta piala pusingan, piala iringan, hadiah iringan, sijil dan pakej menunaikan umrah.
Sementara itu, majlis menghafaz pula menawarkan wang tunai RM4,000, piala iringan, hadiah iringan dan sijil bagi Johan Kategori 1-20 juzuk, manakala Johan Kategori 1-30 juzuk bakal membawa pulang wang tunai RM3,000, piala iringan, hadiah iringan dan sijil.
Majlis perasmian pada 15 Mac ini bakal disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut hadir semasa kunjungan hormat ialah Mufti Sarawak Datu Kipli Yasin, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Khalidi Ibrahim, Timbalan Residen Bintulu Abang Zainuddin Abang Turkey serta Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat, JAIS Mohamad Adib Saini. – TVS