Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Len Talif Salleh, Yusuf Abd Wahab dan Datu Hashim Bojet pada Majlis Penyampaian Sumbangan 'Back To School' di Tanjung Manis selepas Program Larian dan Pertandingan Memancing di Pantai Belawai sempena Sambutan Hari Tanjung Manis, semalam. Foto: TVS

Langkah bersepadu PUSAKA lonjak pembangunan Tanjung Manis

TANJUNG MANIS, 13 Mac: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) melaksanakan pendekatan lebih bersepadu ke arah memperkasakan pembangunan di Tanjung Manis.

Pengurus Besar PUSAKA, Datu Hashim Bojet berkata, usaha itu selaras dengan mandat yang diberikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sehubungan itu katanya, PUSAKA telah mendapatkan infrastruktur baharu daripada Kerajaan Sarawak dan Persekutuan bagi menjayakan agenda berkenaan.

“Dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), kita menekankan kepada industri berasaskan perabot. Kita akan membangunkan ladang perabot. Selain itu, kita membuat satu lagi kawasan perkapalan di Paloh yang melibatkan 1,000 ekar kawasan perindustrian.

“Kita juga telah diberi mandat oleh Kerajaan Negeri, Yang Amat Berhormat (YAB) Premier Sarawak kita, untuk melihat PUSAKA membangun serta membesarkan Lapangan Terbang Tanjung Manis,” katanya ketika ditemui TVS selepas menghadiri Program Larian dan Pertandingan Memancing di Pantai Belawai sempena Sambutan Hari Tanjung Manis semalam.

Hadir sama,  Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh dan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab.

Jelas beliau, langkah itu juga merupakan pendekatan penting bagi menyediakan infrastruktur lebih lengkap dalam usaha menarik kehadiran lebih ramai pelabur ke kawasan Tanjung Manis.

“Kita boleh menerima pendaratan kapal terbang yang lebih besar untuk tujuan akses eksport ke luar negara terus dari Tanjung Manis, selain membawa pelancong  dari luar negara terus ke Tanjung Manis.

“Dari segi potensi Tanjung Manis sebagai ekopelancongan sangat besar di mana Belawai akan menjadi kawasan pelancongan dan kita juga mempunyai kemudahan fasiliti sangat baik pada masa ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lebih banyak pelaburan berunsurkan pertanian dan pemprosesan makanan turut diberi penekanan berikutan kejayaan projek penanaman nanas secara besar-besaran yang sedang giat dilaksanakan di Tanjung Manis.

Dalam pada itu, PUSAKA melalui anak syarikatnya, PUSAKA Capital Sdn Bhd juga akan bekerjasama dengan Lembaga Nanas bagi mewujudkan industri pengeluaran produk berasaskan nanas pada masa akan datang.

“Kita juga sedang membuat perbincangan bersama beberapa pelabur asing untuk membangunkan projek-projek berasaskan makanan dan ternakan di Tanjung Manis.

“Saya berharap dengan sokongan yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri melalui kepimpinan Premier Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ahli parlimen kita, Tanjung Manis akan menjadi hab ekonomi yang sangat penting di wilayah tengah Sarawak pada masa akan datang,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan