KOTA SAMARAHAN, 13 Mac: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerjasama penuh para pemilik tanah yang terbabit dalam pembangunan akan memudahkan proses pelaksanaan projek.
Menurutnya, kerajaan mengambil tanah adalah untuk melaksanakan projek pembangunan yang memanfaatkan rakyat.
“Perkara ini tidak dapat dielakkan namun kita tentunya akan memberikan pampasan sewajarnya kepada mereka (pemilik tanah),” katanya pada Majlis Penyampaian Cek Pampasan Bagi Projek-projek di Bahagian Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Muara Tuang Dato’ Idris Buang.
Jelasnya, pelaksanaan projek pembangunan adalah untuk memastikan kemudahan asas dapat disediakan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat dari aspek sosioekonomi, pendidikan dan kesihatan.
“Kita mahu mempelbagaikan aktiviti ekonomi di kawasan Samarahan ini selain meningkatkan peluang kemudahan kesihatan dan sosial,” katanya.
Pada majlis itu, 111 pemilik tanah yang terbabit dalam projek pembinaan dan naik taraf jalan di Bahagian Samarahan menerima pampasan keseluruhan berjumlah RM20 juta.
Daripada jumlah keseluruhan itu, 39 cek pampasan berjumlah RM4,023,959.39 diserahkan kepada 34 pemilik tanah terbabit dalam Projek Pembinaan Jalan Kampung Tegelam dan Kampung Sungai Alit.
Sebanyak 20 cek pampasan berjumlah RM157,268.35 pula diserahkan kepada 20 pemilik tanah yang terbabit dalam Projek Pembinaan Jalan Kampung Sungai Ganju dan Kampung Beliong ke Kampung Lubok Kura.
39 pemilik tanah yang terlibat dalam Pembinaan Jalan Utama Kedua, Pakej A (Batang Sadong-Sebuyau) juga menerima 43 cek pampasan berjumlah RM14,591,396.60.
Sebanyak 18 pemilik tanah menerima 18 cek pampasan bernilai RM1,298,278. – TVS