KUCHING, 13 Mac: Kemunculan seekor buaya di sungai di belakang sebuah rumah panjang di Tembong Skrang, Simanggang pada malam Ahad menggemparkan penduduk.
Seorang penduduk, Imelda Bragie Jimie ketika dihubungi TVS hari ini berkata, panjang buaya tersebut dianggarkan 4.8 meter.
Katanya, buaya itu mungkin muncul disebabkan hujan lebat dan menyebabkan paras air naik. Sungai berkenaan bersambung terus dengan Batang Lupar.
Seorang penduduk rumah panjang menyedari kemunculan buaya berkenaan ketika hendak melihat haiwan ternakannya di belakang rumah pada 11 malam.
“Kemunculan buaya sering berlaku di kampung kami tetapi setakat ini belum ada melibatkan kehilangan nyawa,” katanya. – TVS