KUCHING, 12 Mac: Politeknik Kuching Sarawak telah menganjurkan Rainforest Cultural Festival yang ketiga sempena Jalinan Warisan dan Unesco (Jiwaku) Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia 2023 selama tiga hari mulai 10 Mac hingga hari ini.
Menurut Pengarah Kanan (Kompetensi) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Ts Zainab Othman, antara tujuan mengadakan festival tersebut adalah untuk menyediakan platform menggilap kemahiran dan menyerlahkan bakat secara kumpulan.
“Selain itu, para siswa-siswi juga dapat mengembangkan potensi dan bakat ke peringkat yang lebih tinggi hasil pendedahan dan persaingan sihat dalam festival seperti ini,” katanya ketika berucap pada Rainforest Cultural Festival yang ketiga sempena Jalinan Warisan dan Unesco (Jiwaku) Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia 2023 malam tadi.
Katanya lagi, penyerlahan bakat bukan sahaja perlu diasah bermula dari awal, malah harus diteruskan sehingga ke peringkat pengajian.
“Penyerlahan bakat perlu diasah secara berterusan termasuklah diperingkat pengajian. Lantaran itu, program mengasah dan membangun bakat dalam kalangan siswa – siswi amat penting dilaksanakan di Politeknik dan Kolej Komuniti,” ujar beliau lagi.
Turut hadir bersama Pengarah Politeknik Kuching Sarawak, Hikmatullah Ahmad Khan.
Pelbagai program telah dianjurkan, antaranya Konsert Rainforest Polytent Poliku dan Corporate Social Responsibility (CSR) dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Untuk rekod, pada tahun 2018 Politeknik Kuching Sarawak telah berjaya menempa nama dalam Malaysia Book Of Record dengan Tarian Alu – Alu Paling Ramai melalui program Poliku Borneo Rainforest Carnival.
Program tersebut telah disertai sebanyak 18 Politeknik dan tiga Kolej Komuniti dari seluruh Malaysia.
Selain itu, pogram itu juga turut disertai oleh Politeknik Negeri Sambas, Indonesia yang kini menjadikan festival berkenaan adalah peringkat antarabangsa. – TVS