KUCHING, 12 Mac: Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) merancang untuk membangunkan sebuah Pusat Latihan Tinju di Sarawak yang terletak di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri.
Presidennya, Datuk Mohd Iruan Zulkefli berkata, tujuan penubuhan pusat latihan berkenaan adalah bagi melahirkan lebih ramai atlet tinju dari negeri ini yang cemerlang dalam akademik dan berpendidikan tinggi.
“Kita nak tengok atlet kita mempunyai sijil ataupun diploma dalam apa-apa bidang bagi menjamin masa depan mereka yang lebih cerah. Jika mereka mempunyai kelulusan akademik, maka ada peluang pekerjaan lebih baik untuk mereka selepas mereka tidak aktif lagi dalam sukan tinju.
“Oleh itu, kita cadangkan IKBN Miri sebagai lokasi penubuhan Pusat Latihan Tinju untuk atlet-atlet yang mewakili negeri dalam Sukan Malaysia (SUKMA),“ katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Penangguhan Penutupan Kejohanan Tinju Remaja Kebangsaan 2023 di sini, semalam.
Kejohanan yang berlangsung selama enam hari mulai 6 hingga 11 Mac itu menyaksikan kontinjen Sabah dinobatkan juara keseluruhan selepas meraih lima emas, empat perak dan tiga gangsa.
Manakala tempat kedua diungguli oleh Pusat Tinju Sibu dan Pusat Tinju Asajaya berpuas hati menamatkan saingan di kedudukan ketiga.
Yang turut hadir, Presiden Persatuan Tinju Sarawak (SABA), Dato Rahman Lariwoo dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Abang Draup.
Mengulas lanjut, Iruan berkata, rancangan pembinaan pusat latihan tersebut telah mendapat persetujuan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan kini pihaknya sedang menyiapkan kertas kerja projek tersebut.
Sementara itu, mengulas mengenai perkara lain, Iruan memaklumkan Sarawak tampak bersedia untuk menjadi tuan rumah SUKMA dalam acara tinju setelah mengambil kira faktor fasiliti dan pengalaman negeri ini dalam penganjuran acara tersebut sebelum ini.
“Saya rasa Sarawak amat bersedia dan pihak PTM akan bersama-sama membantu dari segi menyediakan kelengkapan. Hal persiapan tidak menjadi masalah kerana bagi saya, SUKMA yang paling hebat setakat ini yang pernah saya sertai adalah di Sarawak, dari segi prasarana, Sarawak adalah yang terhebat,“ ujarya.
Pada 18 Februari lepas, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan Sarawak telah ditawarkan KBS untuk menjadi tuan rumah SUKMA 2024 susulan tiada negeri menyatakan kesediaan untuk menganjurkan sukan dwitahunan itu.
Kali terakhir Sarawak menjadi tuan rumah SUKMA ialah pada 2016 selepas menganjurkan kali pertama pada 1990. -TVS