LIMBANG, 12 Mac: Program Northern Region Music Festival (NRMF) yang memasuki edisi ketiga penganjurannya menjadi satu platform terbaik untuk mengukuh dan memperkasakan lagi hubungan dan kerjasama antara wilayah serumpun melibatkan Sarawak, negeri jiran iaitu Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan termasuk negara Brunei Darussalam.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, NRMF disertai wilayah serumpun yang berkongsi kebudayaan, keunikan alat muzik tradisional yang dipersembahkan dalam pentas yang sama.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu, melalui program berkenaan Limbang bukan saja memperkenalkan kebudayaan dan keunikan muzik suku kaum di sini, malah mengukuhkan hubungan serumpun yang sedia terjalin.
“Limbang mempunyai keunikan tersendiri dari segi kebudayaan dan alat muzik etnik-etnik, selain mempromosikan dan mengetengahkan kebudayaan kepada luar,” katanya ketika berucap pada NRMF 2023 di Lot 777 malam tadi.
Hadir sama ialah isteri beliau, Datin Dayang Maimunah Mohamad Daud dan Pengurus Stesen RTM Limbang, Amran Tut.
Beliau berkata, antara tujuan mengadakan NRMF bermula tahun 2018, 2019, tahun lepas dan tahun ini, adalah untuk mengetengahkan kebudayaan dan muzik, alat muzik yang dimainkan etnik-etnik tempatan.
“Kalau di kawasan Limbang ini ada banyak etnik yang ada, Melayu, Melayu Brunei, Melayu Kedayan, Cina, Iban, Bisaya, Lun Bawang dan Penan,” ujarnya lagi.
Selain itu katanya, Limbang terus muncul sebagai destinasi utama penganjuran beberapa program dan acara besar membabitkan pelancongan, sukan, kebudayaan, dan program lain yang menarik tumpuan pengunjung wilayah Kepulauan Borneo.
“Bulan Mei kita akan ada tiga acara utama, iaitu Pesta Badudun dan Lumba Kerbau di Kampung Lubuk Sigantang, Pesta Nuba Laya Persatuan Lun Bawang Limbang dan satu lagi adalah Karnival Belia.
“Seterusnya Pesta Babulang dan Lumba Kerbau bulan Jun, Sambutan Gawai serta Irau Aco iaitu di Lawas untuk kaum Lun Bawang dan pelbagai acara utama lain,” katanya lagi. -TVS