KUCHING, 12 Mac: Skuad Sarawak United FC terus dirundung malang apabila tewas 0-2 di tangan Bukit Tambun FC pada aksi kedua saingan Liga M3 2023, petang semalam.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Mini Kepala Batas, Pulau Pinang, itu menyaksikan skuad kendalian S. Balachandran bergelut mencari rentak permainan sejak wisel permainan dibunyikan.
Gawang gol Sarawak United bocor pada minit ke-28 dengan bekas pemain Pulau Pinang, Syukur Saidin mencetak gol pertama pasukan Bukit Tambun FC apabila mudah menewaskan penjaga gol Sarawak United, Aquila Abdul Rahman.
Tersentak dengan gol tersebut, skuad Bujang Senang cuba bangkit menerusi beberapa asakan ke kubu pihak lawan, namun ketumpulan penyudah meranapkan usaha mereka.
Memasuki babak kedua, Sarawak United bermula garang apabila sering melakukan serangan ke kubu lawan, namun dinafikan dengan kecekapan penjaga gol Bukit Tambun FC.
Ketika perlawanan seakan berkesudahan 1-0, Syukur Saidin sekali lagi menambah luka Sarawak United apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-91.
Ini merupakan kekalahan kali kedua berturut-turut Sarawak United dalam saingan Liga M3 selepas tewas 0-3 pada Hari FT minggu lepas. -TVS