KUCHING, 12 Mac: Pelbagai program bakal dianjurkan oleh Kamek Miak Sarawak (KMS) sepanjang tahun 2023, kata Pengurus Acara KMS Unity Run 2023, Mohd Firdaus Mohri.
Katanya, pihaknya akan mengeluarkan Kalendar Acara KMS 2023 dalam masa terdekat membabitkan beberapa program di seluruh Sarawak.
“Kita telah menyiapkan kertas kerja dan kini dalam proses untuk menghantar kepada majlis perbandaran yang terlibat seperti di Bintulu, Miri, Serian, Bau dan Lundu, di mana kita akan mengadakan program serupa.
“Semuanya sudah dirangka, Kalendar Acara 2023 kita akan keluarkan pada bulan puasa kelak untuk acara yang akan diadakan sepanjang tahun ini,” katanya.
Mohd Firdaus berkata demikian ketika ditemui semasa KMS Unity Run 2023 di pekarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini hari ini.
Mengulas mengenai program tersebut katanya, ia telah mendapat sambutan menggalakkan membabitkan lebih 800 penyertaan.
Larian amal tersebut katanya, bertujuan untuk mengutip sumbangan dan disalurkan kepada Pertubuhan Kebajikan dan Amal Jariah Komuniti Kuching.
“Sebahagian keuntungan daripada pembayaran penyertaan akan disalurkan kepada pertubuhan kebajikan yang saya sebutkan tadi, ini merupakan program yang pertama kali dianjurkan oleh KMS.
“Selepas Hari Raya, kita akan mengadakan program sama sekali lagi dan sebahagian keuntungan juga akan disalurkan kepada badan-badan amal pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang ketika ditemui selepas menyempurnakan pelepasan peserta berkata, ia merupakan suatu program yang bermanfaat bukan sahaja untuk mengumpul dana tetapi dari segi kesihatan.
“Selepas berehat panjang, terutama ketika musim hujan, dan saya sendiri selepas menjalani pembedahan, saya rasa ia satu permulaan yang baik untuk kembali aktif beriadah dan bersukan.
“Lebih-lebih lagi selepas pandemik COVID-19, kita banyak menghabiskan masa di rumah, tidak bersukan, berlari dan sebagainya, jadi ia sangat baik untuk kesihatan di samping, medan perpaduan untuk komuniti kerana ia terbuka kepada semua lapisan masyarakat,” ujarnya. -TVS