JAKARTA, 12 Mac: Gunung Merapi yang terletak di wilayah Jawa Tengah, Indonesia kembali meletus dengan aktif dalam tempoh seminggu ini.
Selepas memuntahkan abu panas kelmarin, hari ini gunung api paling aktif di Indonesia berterusan mengeluarkan runtuhan lava pijar sejak jam 7.04 pagi tadi waktu tempatan sejauh dua kilometer ke barat daya.
Menurut Kepala Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Teknologi Bencana Geologi Indonesia (BPPTKG), Agus Budi Santoso, siri awan panas yang turun pada siang hari adalah yang kedua terbesar selepas letusan yang berlaku pada 27 Januari 2021 lepas.
“Keamatan letusan yang berlaku kali ini agak besar, sekurang-kurangnya ini kedua terbesar selepas dua tahun,” katanya dalam sidang media dalam talian.
Beliau turut berkata, erupsi gunung berapi curam itu masih berlangsung sehingga kini dengan tingkat yang cukup tinggi.
Abu vulkanik pun menghujani beberapa kawasan disekitarnya sejak kelmarin yang menyebabkan penduduk di kawasan sekitar dipindahkan.
Setakat ini, amaran supaya menjauhi lingkungan tiga hingga tujuh kilometer daripada puncak gunung masih berlaku bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini. -TVS